Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kurang daripada sejam dari sekarang, bekas Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membela diri dalam kes perbicaraan SRC International Sdn Bhd membabitkan penyewelengan dana berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ini sekaligus merupakan sejarah buat kali pertama di negara ini bagi seorang bekas Perdana Menteri yang didakwa terlibat dengan jenayah rasuah serta salah guna kuasa membela diri dengan pertuduhan tersebut.

MalaysiaGazette difahamkan Najib akan dipanggil sebagai saksi pertama prosiding pembelaan oleh barisan peguam bela terlebih dahulu sebelum di soal kemudian oleh pihak pendakwaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Sebelum ini, Mohd Nazlan ketika membacakan keputusan pada 11 November lepas telah memutuskan supaya Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan supaya membela diri bagi tiga pertuduhan pecah amanah atau CBT, tiga lagi pertuduhan penggubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa.

Mohd Nazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pasukan pendakwaan berjaya membuktikan wujudnya kes ‘prima facie’ terhadap Najib.

Justeru itu, Najib sedang berhadapan 7 pertuduhan membabitkan SRC International itu dan akan membela diri untuk tuduhan-tuduhan tersebut hari ini.

Ketika membacakan keputusan kes, Mohd Nazlan memutuskan Najib sebenarnya telah menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan ganjaran wang sebanyak itu sebelum menggunakan wang SRC International bagi kepentingan peribadi.

Selain itu, Najib juga didapati telah menggunakan kuasanya dalam mempengaruhi keputusan syarikat itu selain unsur pecah amanah.

Mohd Nazlan juga telah memutuskan bahawa RM42 juta dalam akaun Najib adalah hasil satu perbuatan menyalahi undang-undang, sebagaimana yang dibuktikan dalam pertuduhan CBT.

Najib juga telah diberikan tiga pilihan untuk membela diri dan beliau telah memilih untuk memberikan keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi yang juga memberikan peluang kepada pendakwa melakukan soal balas kelak.

Mahkamah menetapkan pembelaannya bermula pada 3 Dis hingga 4 Dis, 9 Dis hingga 12 Dis, dan 16 Dis sehingga 19 Dis.

Pendakwaan diketuai Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas manakala, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan.

Pada 22 dan 23 Oktober lalu, mahkamah mendengar hujah daripada pasukan pendakwaan dan pembelaan. Pendakwaan mengakhiri kesnya pada 27 Ogos, selepas 58 hari perbicaraan dengan 57 saksi dipanggil memberi keterangan.

Semasa perbicaraan itu, pendakwaan mengemukakan lebih 750 ekshibit, termasuk dokumen bank yang berkait dengan akaun Najib, urus niaga tunai, minit mesyuarat dan perbualan Blackberry Messenger mengenai transaksi akaun Najib.

Najib telah menjawat jawatan Perdana Menteri ke-6 antara April 2009 sehingga Mei 2018 sebelum kerajaan Barisan Nasional jatuh ke tangan Pakatan Harapan melalui Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

Ini bukan sahaja kes berprofil tinggi yang mendapat tumpuan dunia sebaliknya Najib pemimpin pertama dengan jawatan Perdana Menteri yang didakwa dengan pertuduhan salah guna kuasa, rasuah serta penggubahan wang haram di mahkamah.

Jika didapati bersalah, Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda daripada nilai suapan.

Mahkamah juga sudah mula sedikit sesak daripada kebiasaan dengan kehadiran pengamal media, pemerhati dalam dan luar negara selain penyokong Najib seawal 7 pagi lagi. –MalaysiaGazette

SRC International: Najib pilih beri keterangan bersumpah bela diri