Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua kiri) ketika keluar dalam kes perbicaraan SRC International Sdn Bhd membabitkan penyewelengan dana berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan beberapa tuduhan ketika memberi pernyataan bersumpah dalam pembelaan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta,

Malah kata Najib, seperti penyataan pembukaan pembelaan oleh peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, beliau tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi dalam SRC international kecuali kepentingan profesional sebagai seorang berjawatan Perdana Menteri.

“Saya secara tegas mengatakan di sini saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi sebaliknya hanya sebagai seorang Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, kewajipan awam saya untuk bertindak atas dasar kepentingan terbaik untuk kerajaan Malaysia,” katanya.

Ketika disoal balas oleh peguamnya pada pemeriksaan utama, Najib secara berterusan menafikan tuduhan yang dilontarkan kepadanya oleh saksi-saksi pendakwaan sebelum ini.

Sambil memberikan contoh tentang dakwaan bekas Pengerusi SRC International, Tan Sri Ismee Ismail yang menuduh Najib memberi arahan kepada Lembaga Pengarah sebelum keputusan dibuat.

“Saya sebenarnya terkejut dengan tuduhan oleh Tan Sri Ismee, tuduhan itu tidak masuk akal langsung. Semua perkara yang berkaitan dengan operasi syarikat, usahasama dengan Aabar Investments PJS, pembiayaan kewangan, itu semua tanggungjawab Lembaga.

“Lembaga akan berbincang terlebih dahulu sebelum mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan Diperbadankan sebagai pemegang saham SRC International.

“Saya juga tidak pernah menandatangani apa-apa dokumen dengan mengarahkan Lembaga Pengarah tentang perkara-perkara seperti ini,” dakwanya.

Najib juga menafikan dirinya telah ‘memaksa’ atau mengarahkan pindaan perlembagaannya dalam SRC International bagi membolehkan beliau mempunyai kuasa mengawal entiti berkenaan.

Kata Najib, Artikel 67 dan 116 perlembagaan SRC International telah dipinda tanpa berrunding dengannya terlebih dahulu.

“Saya tidak terbabit di peringkat SRC ditubuhkan atau mana-mana pindaan ke atas perlembagaan syarikat itu. Selepas membaca dokumen berkaitan mengenai penubuhan SRC, saya tahu SRC ditubuhkan melalui B&M Consultancy Services Sdn Bhd.

“Lim Poh Seng yang merupakan setiausaha syarikat 1MDB ketika itu. Ketika itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Nor Mohamed Yakcop yang mengetuai Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Pejabat Perdana Menteri telah meluluskan penubuhan SRC International,” ujarnya.

Kata Najib, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain mempunyai peruntukan sama yang memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk mengawal hal ehwal syarikat.

“Jika mahkamah membenarkan saya untuk menjelaskan, sebenarnya kuasa Perdana Menteri dalam Petronas lebih komprehensif berbanding SRC.

“Di bawah Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A) Petronas termaktub, hanya Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk melantik Pengerusinya dan dilantik itu perlu mengikut arahan Perdana Menteri,” jelas beliau.

Dalam pada itu, katanya, walaupun beliau berjawatan Perdana Menteri dengan kuasa untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM3 bilion untuk SRC International, namun beliau tidak bertindak demikian.

Perbicaraan sejak jam 9.30 pagi ditangguhkan pada jam 5 petang dan akan disambung esok. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.