Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Sambutan Ulangtahun Tekun Nasional ke 20 di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 03 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – TEKUN Nasional perlu terus membuktikan peningkatan prestasi dan melakukan pembaharuan sekiranya mahu meminta peruntukan tambahan.

Bagaimanapun Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berpuas hati dengan pencapaian TEKUN yang dalam masa yang sama berjaya mendisiplinkan para peminjam mikrokreditnya untuk membayar hutang agar dapat menbantu usahawan tempatan  lain.

“TEKUN sebenarnya tidak payah nak minta (peruntukan) lebih kecuali kalau ada pembaharuan saya minta dalam masa 18 bulan kepada semua pengurusan TEKUN kerana telah mengembalikan hala tuju asal membangunkan usahawan menyematkan nilai-nilai disiplin usahawan itu bersama TEKUN untuk membangunkan usahawan lain.

“Nampaknya pungutan memberangsangkan, dan tuan dan puan bertanggungjawab membantu TEKUN,” katanya ketika menyampaikan ucapan semasa Majlis Sambuttan Ulang Tahun TEKUN Nasional Ke-20 di sini hari ini.

Sehingga kini, TEKUN telah menyalurkan pembiayaan kepada 438,178 orang usahawan seluruh negara dengan jumlah  RM5.67 bilion.

Kira-kira 200,000 usahawan yang meminjam sehingga kini aktif membayar balik pembiayaan yang diberikan TEKUN.

Dalam masa yang sama TEKUN menyasarkan untuk menyalurkan pembiayaan sebanyak RM330 juta kepada 22,000 usahawan di mana 18,000 daripadanya adalah golongan peniaga baru.

Mohd. Redzuan selain itu menggalakkan usahawan yang sudah bersama-sama TEKUN mengajak rakan-rakan yang kurang berkemampuan khususnya dalam kalangan B40 untuk bersama-sama menaikkan taraf hidup dengan menjalankan perniagaan. -MalaysiaGazette