Set janakuasa bergerak sedia untuk digerakkan ke lokasi yang berisiko tinggi banjir sebagai sebahagian tindakan siap-siaganya jika bekalan elektrik tidak dapat dibekalkan menerusi talian kabel semasa musim tengkujuh.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menyediakan set-set janakuasa bergerak di lima lokasi yang berisiko tinggi banjir di Kelantan dan Terengganu.

Ia sebagai sebahagian tindakan siap-siaga sekiranya bekalan elektrik tidak dapat dibekalkan menerusi talian kabel semasa musim tengkujuh.

Sebanyak empat set janakuasa bergerak 1,000 kVA telah ditempatkan di Lemal, Pasir Mas; Lundang, Kota Bharu; Tumpat dan Kuala Krai di Kelantan. Sementara itu di Kemaman, Terengganu, satu set janakuasa bergerak diletakkan dalam keadaan siap-siaga.

“Kelima-lima set janakuasa bergerak tersebut telah ditempatkan awal bagi mengelakkan kemungkinan lokasi-lokasi berkenaan tidak dapat diakses semasa banjir,” kata Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB (Chief Distribution Network Officer TNB), Datuk Ir. Baharin Din dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB (Chief Distribution Network Officer TNB), Datuk Ir. Baharin Din

Menurut beliau, cuti untuk lebih 700 warga kerja TNB di Kelantan dan Terengganu dibekukan.

Pekerja yang terlibat sebahagian besarnya merupakan warga kerja yang diberi tanggungjawab memastikan pepasangan TNB berada dalam keadan baik dan selamat, katanya.

Daripada jumlah tersebut, seramai 223 orangdi Kota Bharu dan 114 di Tanah Merah, Kelantan; 253 di Kuala Terengganu dan 117 di Kemaman, Terengganu.

Sekiranya orang ramai mendapati terdapat sebarang kejanggalan kepada pepasangan TNB, seperti tiang tumbang akibat banjir, sila hubungi TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB Careline bagi tindakan lanjut.- MalaysiaGazette