Wong Tack. foto Straits Times

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack dilaporkan memaklumkan kepada masyarakat Cina bahawa beliau menerima jaminan daripada Lim Guan Eng bahawa Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan diiktiraf tak lama lagi.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Publisiti MCA, Datuk Leong Kim Soon skeptikal dengan dakwaan Wong Tack itu.

Menurutnya, jika mengingat semula janji Wong Tack untuk ‘membakar’ kilang Lynas jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menutupnya, MCA yakin ia merupakan satu lagi helah DAP untuk mengekalkan sokongan masyarakat Cina.

Ini kerana, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir telah menyatakan  janji-janji manifesto PH, seperti menutup Lynas dan mengiktirafkan UEC bukanlah “kitab suci” – maka PH tidak perlu menunaikan janji-janji tersebut.

Kim Soon dalam kenyataanya berkata, sejak membentuk kerajaan baharu, PH telah kehilangan kredibilitinya.

“Dan kenyataan Wong Tack hanya satu percubaan untuk menenangkan masyarakat Cina yang semakin muak dengan alasan-alasan PH.

“Apabila PH mula-mula mentadbir, rakyat sanggup memberi peluang kepada mereka. Namun, selepas 18 bulan, kebanyakan janji-janji masih tidak ditunaikan dan DAP hanya mampu memberi kata-kata kosong untuk mengalih kemarahan rakyat,” katanya.

Kim Soon berkata, jika Wong Tack seorang yang berprinsip dan beretika, beliau sepatutnya meletak jawatan.

Jelasnya, Kabinet mempunyai tanggungjawab kolektif, dan menteri-menteri kerajaan tidak patut membuat kenyataan bercanggah.

Sekiranya DAP tidak bersetuju dengan pendirian Kabinet, maka mereka harus mengamalkan sikap akauntabiliti dan meletak jawatan. – MalaysiaGazette