Deputi Superintendan Zawary Mahadi.

SHAH ALAM – Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Deputi Superintendan Zawary Mahadi, meninggal dunia di Istanbul, Turki, semalam.

Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dalam kenyataan hari ini berkata, Zawary, 53, meninggal dunia di bilik hotel ketika bercuti bersama keluarganya di Istanbul pada kira-kira 11 malam waktu Malaysia.

“Arwah (Zawary) ke sana kerana mengikuti trip percutian bersama isteri, tiga orang anak dan seorang cucu, bermula 23 Nov lepas dan dijangka pulang ke Malaysia, esok.

“Difahamkan semalam, Zawary dilaporkan tidak sihat dan tidak menyertai lawatan ke bandar Istanbul bersama keluarganya. Apabila keluarga sampai di bilik hotel (selepas lawatan ke bandar Istanbul) didapati beliau sudah meninggal dunia,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Polis IPD Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima berita itu daripada isteri Zawary kira-kira pukul 11.40 malam tadi.

Beliau berkata, keluarga Zawary sedang menunggu pengesahan punca kematiannya daripada pihak hospital di Istanbul.

“Pihak IPD Shah Alam akan turut membantu urusan membawa balik jenazah Zawary ke tanah air,” katanya.- BERNAMA