Freddie Ljungberg

LONDON – Pengurus sementara Arsenal, Freddie Ljungberg akan mendapatkan nasihat daripada bekas pengurus kelab itu, Arsene Wenger untuk melakukan persediaan bagi perlawanan pertama di gelanggang sendiri menentang Brighton & Hove Albion.

Ljungberg dilantik sebagai pengurus sementara berikutan pemecatan Unai Emery minggu lalu dan memimpin Arsenal untuk seri 2-2 di Norwich City, Ahad lalu iaitu keputusan tanpa kemenangan dalam enam perlawanan liga.

Arsenal akan berdepan Brighton dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi Jumaat.

Ljungberg antara tonggak pasukan ‘ajaib’ Wenger yang mengharungi musim dengan rekod tanpa kalah yang membawa kepada kejuaraan liga pada 2003-04.

“Saya mahu bercakap dengannya. Saya pernah berhubung dengannya namun saya tidak bercakap dengannya kerana agak sibuk kebelakangan ini, namun ia berada dalam perancangan saya,” kata Ljungberg.

Wenger meninggalkan Arsenal pada Mei tahun lalu selepas berkhidmat 22 tahun ketika dia melonjak kelab Liga Perdana Inggeris dan menjadi antara pengurus paling berjaya, menang tiga kejuaraan Liga Perdana termasuk tujuh Piala FA.

Pengendali berusia 70 tahun itu kemudian memaklumkan Sky Sports dia amat berbesar hati untuk membantu Ljungberg.

Ljungberg berkata, dia mahu mengubah suasana di Stadium Emirates.

Arsenal tewas 1-2 kepada Eintracht Frankfurt dalam saingan Liga Europa dalam keadaan stadium yang separuh kosong ketika perlawanan terakhir Emery sebagai pengurus. – MalaysiaGazette