Naib Presiden MPM Petronas, Mohamed Firouz Asnan (tiga dari kiri), Pengarah Urusan EnQuest Malaysia, John Penrose (tiga dari kanan) dan Naib Presiden Penerokaan Petronas Carigali, Emeliana Rice-Oxley (dua dari kiri) memeterai perjanjian PSC dan JOA Blok PM409 di Kuala Lumpur. foto Petronas

KUALA LUMPUR- Petronas menganugerahkan Blok PM409 di luar pesisir semenanjung Malaysia kepada EnQuest Petroleum Production Malaysia Ltd. (EnQuest) sebagai sebahagian daripada Pusingan Bidaan Malaysia 2019.

EnQuest adalah anak syarikat milik penuh EnQuest PLC dan Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB).

Majlis pemeteraian perjanjian Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) dan Perjanjian Pengendalian Bersama (JOA) bagi Blok PM409 dimeterai hari ini oleh Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Petronas, Mohamed Firouz Asnan manakala EnQuest diwakili Pengarah Urusan EnQuest, John Penrose.

PCSB pula diwakili Naib Presiden Penerokaan, Emeliana Rice-Oxley.

Menurut Mohamed Firouz, pemeteraian perjanjian itu mampu meneruskan sumbangan syarikat ke arah kelestarian industri huluan di negara ini.

“Usaha ini akan mengekalkan petroleum Malaysia sebagai sebuah industri yang kukuh dan ia hanya boleh dicapai menerusi kerjasama efektif dengan rakan kongsi-rakan kongsi yang memiliki halatuju yang unik dan sesuai dengan model-model PSC yang ditawarkan oleh Petronas,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pusingan Bidaan Malaysia adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Petronas bagi memasarkan keluasan ekar Malaysia kepada pemain-pemain industri yang mempunyai keupayaan untuk meneroka potensi sumber hidro-karbon di negara ini.