logo FELDA

KUALA LUMPUR – Felda menjalankan kerja-kerja membangunkan semula Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di 20 tapak yang dikenal pasti.

PGBF adalah inisiatif yang diumumkan pada tahun 2013 untuk membantu dalam pemilikan kediaman bagicgenerasi baharu Felda, di samping mengoptimumkan penggunaan tanah-tanah kosong di kawasan rancangannya.

Menurut Felda, peruntukan yang telah dijanjikan kepadanya untuk menyediakan 20,000 unit rumah bagi projek ini adalah sebanyak RM1.5 bilion.

Namun sehingga 2017, Felda hanya menerima RM200 juta daripada kerajaan ketika itu, walaupun telah membelanjakan
RM710 juta termasuk melalui dana dalaman untuk melaksanakan projek tersebut.

Disebabkan kekangan kewangan yang dialami, Felda hanya mampu memulakan pembinaan sebanyak 8,314 unit rumah sahaja berbanding sasaran 20,000 unit pada waktu itu.

Walau bagaimanapun, hanya 648 unit sahaja yang berjaya diserahkan kepada pemilik sehingga Mei 2018.

Felda berkata, pembangunan semula PGBF itu selepas ia menerima peruntukan sebanyak RM250 juta, semasa pembentangan Kertas Putih Felda pada 10 April lalu, untuk menyiapkan 4,794 unit PGBF yang mencapai kemajuan kerja 70% dan ke atas.

“Sehingga kini, sebanyak 9 projek yang melibatkan 1,698 unit rumah telah mendapat pentauliahan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

“Sebanyak, 1,070 unit rumah atau 63% telah diserahkan kunci manakala 628 unit masih dalam proses penyerahan kepada peserta.

“Antara projek yang telah diserahkan kunci adalah di Felda Padang Piol, Felda Sungai Tiang, Felda Selancar 4/5, Felda Selendang 2, Felda Keratong 4, Felda Sungai Koyan 1B, Felda Pasoh 1, Felda Pasir Besar dan Felda Inas Utara,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan serta pengurusan Felda sentiasa bekerja keras dalam menyelesaikan isu-isu yang memberi kesan kepada warga peneroka dan generasi baharu terutamanya isu-isu yang telah diakibatkan oleh tadbir urus yang lemah sebelum ini.

Selain isu penyata hutang serta pengurusan ladang peneroka, fokus pada masa ini adalah untuk menyiapkan kesemua 4,794 unit PGBF yang dikenal pasti selari dengan aspirasi kerajaan untuk menyelesaikan isu perumahan generasi baharu Felda secara lebih mampan. – MalaysiaGazette