KUALA LUMPUR – Program Jom Transform yang dilaksanakan oleh United Overseas Bank Malaysia Berhad (UOB Malaysia) bakal menyaksikan peningkatan produktiviti sehingga 30 peratus melalui pendigitalan.

Program Jom Transform adalah program transformasi perniagaan pertama di Malaysia yang membantu perniagaan tempatan mendigitalisasikan operasi mereka dalam memacu pertumbuhan produktiviti dan pendapatan.

Sepanjang program selama tiga bulan itu, 16 PKS yang mengambil bahagian memperolehi kemahiran dan pengetahuan dalam bidang transformasi digital seperti membentuk semula perniagaan dan pemasaran digital.

Sebagai sebahagian daripada pembangunan kemahiran, mereka mempelajari rahsia industri daripada pakar-pakar di beberapa siri bengkel dan dipadankan dengan rakan teknologi yang dipilih khusus untuk merintis penyelesaian yang relevan dan menilai keberkesanan penyelesaian ini.

Daripada 16 PKS yang mengambil bahagian, 12 merintis penyelesaian untuk memantapkan proses perniagaan teras mereka seperti urusan gaji, sumber manusia dan perakaunan.

Automasi proses-proses ini dijangka membantu pekerja mengurangkan masa yang digunakan untuk melaksanakan proses
pentadbiran secara manual sebanyak 30 peratus.

Ini akan memberi mereka lebih banyak masa untuk melakukan tugas-tugas dengan nilai tambah dan seterusnya menyumbang kepada keseluruhan produktiviti dan kecekapan syarikat.

PKS itu juga merintis penyelesaian dalam pemasaran digital, penjanaan petunjuk, penciptaan isi kandungan dan e-dagang.

Kesemua penyelesaian ini akan meningkatkan jualan dan pemerolehan pelanggan baharu kepada PKS sehingga 10 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, Wong Kim Choong berkata, Program Jom Transform menekankan komitmen bank itu untuk membantu PKS Malaysia mendigitalisasikan perniagaan mereka untuk pertumbuhan dan produktiviti yang berterusan.

“Program Jom Transform direka untuk membantu PKS Malaysia beralih kepada pendigitalan dalam menjalankan operasi mereka dan kami dengan sukacitanya mengumumkan bahawa matlamat ini telah berjaya dicapai,” katanya.

Jom Transform dianjurkan bersama oleh UOB Malaysia dan The FinLab, pemecut inovasi di bawah United Overseas Bank Limited, turut disokong oleh lima rakan strategik termasuk Dewan Perniagaan & Industri China Kuala Lumpur & Selangor, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Maxis, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp Malaysia). – MalaysiaGazette