Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan sistem pemberian RM30 kepada 15 juta rakyat berusia 18 tahun dan ke atas menerusi perkhidmatan e-dompet telah dibangunkan dan sedang diuji dan diperhalusi secara bersama oleh penyedia perkhidmatan itu serta kerajaan sebelum dilaksanakan mulai Januari 2020.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan transformasi digital e-dompet dalam kalangan masyarakat dan peniaga terutama peniaga kecil dan peruncit untuk menerima bayaran digital tanpa tunai.

Katanya, kerajaan menawarkan secara ‘one off’ rangsangan digital bernilai RM30 kepada semua rakyat berumur 18 tahun ke atas dengan pendapapan tahunan kurang RM100,000 untuk dibelanjakan pada Januari dan Februari mulai tahun depan.

“Apa yang diperlukan e-dompet ialah akaun e-Wallet dengan identiti yang disahkan oleh penyedia perkhidmatan yang terpilih itu dan pelaksanaan ini adalah di bawah penyeliaan sepenuhnya Khazanah Nasional.

“Kerajaan telah memperuntukkan sehingga RM470 juta kepada Khazanah Nasional yang akan memberi manfaat kepada 15 juta rakyat untuk beralih kepada dunia pembayaran digital tanpa tunai

“Pada masa ini sistem dan perisian e-tunai itu telah dibangunkan dan sedang giat diuji serta diperhaluskan bersama dengan perkhidmatan e-dompet dan agensi kerajaan, selaras dengan masa yang ditetapkan untuk pelan projek berkenaan bagi melaksanakannya pada 1 Januari 2020,” katanya semasa waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pagi ini.

beliau menjawab demikian kepada soalan Ahli Parlimen BN Rembau, Khairy Jamaluddin yang meminta Ahli Parlimen Bagan menyatakan status pelaksanaan e-dompet dan syarikat yang terpilih untuk melaksanakan pelan tersebut.

Guan Eng berkata, Khazanah bertanggungjawab dan akan mengumumkan syarikat penyedia khidmat e-dompet yang terlibat itu kelak dan Kementerian Kewangan pula bersedia untuk mempertimbangkan peruntukan tambahan dalam perkara tersebut.

Katanya, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada RM50.3 bilion yang disediakan kerajaan PH bagi tempoh 5 tahun seperti mana diumumkan dalam Belanjawan 2020.

Daripada jumlah itu sebanyak RM21.6 bilion diperuntukkan untuk pelan gentian dan optik demi infrastruktur digital negara.

Dalam soalan tambahan, Khairy meminta jaminan kerajaan supaya program itu dilaksanakan secara adil dan dibuka kepada semua perkhidmatan e-dompet tanpa berat sebelah memandangkan beliau difahamkan dari Khazanah hanya terdapat dua penyedia e-dompet iaitu Boost dan AliPay.

Khairy juga mahu program itu diteruskan dan menembusi masyarakat luar bandar dalam penggunaan tanpa tunai.

Guan Eng menjelaskan pemilihan penyedia e-dompet melibatkan beberapa kriteria iaitu mempunyai rangkaian perdagangan lebih besar, mempunyai kepakaran teknikal dan keupayaan kewangan dan sumber manusia yang dapat membangunkan sistem serta mampu mengendalikan bilangan transaksi besar dalam tempoh singkat.

Menurutnya, pada akhirnya pertimbangan diberi kepada perkhidmatan e-dompet yang melaburkan jumlah yang banyak di negara ini dalam sistem e-dompet dan ia diperhalusi Khazanah,”. – MalaysiaGazette