Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO menyindir sikap pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang disifatkan sebagai berhati tisu, iaitu cepat melatah setiap kali dikritik dan ditegur.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebelum ini ketika PH dipihak pembangkang, mereka begitu lantang mengkritik dan menekan kepimpinan Barisan Nasional (BN) sehingga ada yang berguling atas jalanan dan mengertak hendak menyaman.

Namun, katanya, Pemuda UMNO tidak akan gentar dengan gertakan itu, malah makin ditekan, makin pergerakan itu bangkit melawan.

“Rupanya pimpinan PH ini berhati tisu. Dulu mereka mengkritik, hari ini tidak bersedia dikritik. Bila ditegur cepat melatah. Bila ditentang mula nak menekan.

“Yang pernah berguling atas jalanan pun pantas menggertak nak menyaman. Namun, bagi Pemuda sedikitpun tidak gentar dan kita akan terus bangkit melawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Dasar Ketua Pemuda sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 (PAU2019) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menurut Dr. Asyraf, beliau berpuas hati dengan semangat ditunjukkan ahli Pemuda sepanjang tempoh 18 bulan kekalahan parti itu kepada PH pada PRU14 yang lalu.

Ujar beliau, pengorbanan yang dilakukan kini semakin menampakkan hasilnya berkat kerja kuat, jiwa besar, hikmah dan berstrategi semua pihak yang dibuktikan melalui kemenangan BN pada empat pilihan raya kecil (PRK) mutakhir ini.

“Benar kita telah menang, namun bacalah isyarat yang tersirat. Rakyat tidak mahu kita alpa. Rakyat tidak mahu kita sombong. Rakyat pastinya tidak mahu kita lupa daratan hingga sesama sendiri kembali bercakaran dan berantakan.

“Rakyat tentu sekali mahu kita muhasabah dan terus memperbaiki parti dan lebih membimbangkan semakin bersinar cahaya gemerlapan di hujung terowong, semakin ramai yang dulunya menyepi seakan bernafas kembali. ‘

“Makin ramai yang dulunya mengkhianati sehingga terjun meninggalkan parti, hari ini diam-diam sudah kembali, bahkan ada yang sudah pasang kaki mengatur strategi untuk merebut pelbagai posisi dalam parti,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2019

Beliau mengingatkan Pemuda agar jangan sesekali menjadi serigala berbulu kambing yang dahulunya umpama mayang menolak seludang, meninggalkan parti yang banyak berjasa kepada mereka setelah parti hilang kuasa.

“Tiba-tiba hari ini, sudah mengintai posisi dan mula membina kem dalam parti. Ingatlah, pelanduk mungkin selalu melupakan jerat, tetapi jerat tidak sesekali lupa pada pelanduk.

Kata Dr. Asyraf, masalah PH bukan sekadar dihantui isu perlunasan janji sehingga menjadi siulan rakyat sebagai pakatan hancing, malah kegagalan mereka menerajui negara tidak kira dari segi ekonomi, hubungan luar negara, pendidikan, pentadbiran kerajaan sehingga harapan palsu yang telah ditabur.

Ujarnya, PH juga menjanjikan hendak mereformasi beberapa institusi penting, tetapi gagal menguruskan kemajmukan negara berbilang kaum yang menyentap kehidupan rakyat hari ini. – MalaysiaGazette