Bekas Ketua AMK, Mizan Adli Mohd Nor bercakap kepada media pada persidangan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) sempena Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto IQBAL BASRI, 06 DISEMBER 2019

AYER KEROH – Pengerusi Tetap AMK yang dipecat, Mizan Adli Md Noor mendakwa Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggunakan kekerasan ketika menghalang beliau daripada memasuki dewan persidangan Kongres AMK hari ini.

Beliau juga mendakwa kongres yang dijalankan hari ini tidak sah kerana tidak dipengerusikan oleh beliau selalu Pengerusi Tetap.

“Adakah Akmal guna gangster? Kami tidak buat apa. Sebarang keputusan berhubung jawatan seharusnya ditamatkan dalam kongres tapi saya tidak dibenarkan masuk.

“Saya anggap kongres ini tidak sah kerana pelantikan yang berlaku tanpa ada saya didalam.

“Jika nak tukar Pengerusi Tetap sekalipun, mesti dalam kongres. Kami dilantik dalam kongres, saya bukan yang menang bertanding, saya sebahagian daripada kongres,” katanya di luar dewan persidangan Kongres AMK, hari ini.

Akmal Nasrullah Nasir merupakan Ketua AMK.

Mizan sebelum ini tidak dibenarkan memasuki dewan untuk mempengerusikan Kongres AMK yang berlangsung pagi tadi.

BACA: Mizan dibawa keluar dewan selepas gagal duduk di kerusi pengerusi tetap AMK

Ekoran itu, timbul kekecohan dan aksi tolak menolak daripada para perwakilan yang bersama Mizan.

Suasana tegang antara perwakilan dan pemerhati pada persidangan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) sempena Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto IQBAL BASRI, 06 DISEMBER 2019

Mizan berkata, pemecatan beliau sebagai pengerusi tetap perlu dilakukan di dalam kongres yang berlangsung hari ini dan bukannya beberapa hari sebelum kongres.

“Kongres yang berlaku sekarang tidak sah kerana berlangsung tanpa pengerusi dan timbalan pengerusi tetap.

“Mereka melantik pengerusi baru tanpa benarkan saya masuk ke dalam.

“Susulan kejadian ini, ROS boleh lihat dan mungkin terbabit PKR sendiri,” katanya lagi.

BACA: [VIDEO] Kongres AMK tegang, ada perwakilan tidak dibenar masuk

Mizan dalam pada itu berkata, beliau akan membuat satu laporan polis berhubung penafian hak beliau untuk memasuki kongres.

Beliau turut mendakwa mengalami kecederaan akibat daripada insiden tolak menolak. -MalaysiaGazette