Pemain-pemain Newcastle bersorak gembira selepas berjaya menundukkan Sheffield United 2-0 pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris yang berlangsung awal pagi tadi.

SHEFFIELD – Tandukan tajam terus ke pintu gol yang dilakukan penyerang Newcastle United Allan Saint-Maximin mengejutkan pasukan pelawat Sheffield United yang tewas 2-0 pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris yang berlangsung awal pagi tadi.

Saint-Maximin, pemain kelahiran Perancis, meledak gol pertama Newcastle pada minit ke-15 yang juga gol sulungnya buat kelab itu sebelum Shelvey menyumbat gol kedua pada minit ke-70.

Bagaimanapun gol yang didijaringkan itu mencetus kontroversi selepas Andy Carroll, yang melorongkan bola kepadanya dikatakan berada di posisi offsaid tetapi gol berkenaan disahkan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Penjaga garisan sudah mengibarkan bendera ketika itu yang menyaksikan pertahanan tuan rumah menghentikan gerakan tetapi Shelvey tetap meneruskannya untuk mengatasi penjaga gol, Dean Henderson sebelum VAR mengesahkan Carroll tidak offsaid.

Sementara itu, dalam perlawanan di Stadium Emirates, Arsenal tumbang kepada Brighton & Hove Albion 2-1 di gelanggang sendiri buat kali pertama, menerusi jaringan daripada Adam Webster dan Neal Maupay.

Arsenal yang memecat Unai Emery sebagai pengurus, minggu lalu dan melantik bekas pemain Freddie Ljungberg sebagai pengendali sementara ketika ini menghuni tangga ke-10 liga selepas mengumpul hanya 19 mata daripada 15 perlawanan.

Pada aksi di Emirates itu, Brighton berpeluang memecah kebuntuan di awal permainan apabila pertahanan Gunners, Hector Bellerin menjatuhkan Aaron Connolly di luar kotak penalti tetapi sepakan percuma Pascal Gross tersasar.

Pelawat menggandakan tekanan dan selepas cubaan Maupay gagal mengatasi Bernd Leno, mereka akhirnya mendahului pada minit ke-36 menerusi Webster berpunca sepakan sudut.

Penyerang Perancis, Alexandre Lacazette menyamakan kedudukan lima minit memasuki babak kedua dan hampir di depan tetapi jaringan David Luiz dinafikan Video Bantuan Pengadil susulan ofsaid.

Maupay kemudian menjadi pemusnah buat Arsenal apabila tandukannya berpunca sepakan sudut Aaron Mooy berjaya menewaskan Leno pada minit ke-80 yang memberikan pelawat tiga mata.

Keputusan perlawanan Liga Perdana Inggeris yang berlangsung, awal pagi tadi.

Sheffield United 0 – 2 Newcastle

Arsenal 1 – 2 Brighton

– MalaysiaGazette