Bendera parti Keadilan Rakyat menghiasi jalan raya menjelang perasmian pembukaan Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre, Melaka. foto IQBAL BASRI, 05 DISEMBER 2019

AYER KEROH – Beberapa usul yang diutarakan ketika sesi pagi Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) di sini menarik perhatian para perwakilan sehingga mengundang gelak ketawa.

Perwakilan daripada Selangor, Adzman Kamaruddin mengusulkan agar istilah ‘kartel’ yang digambarkan kepada kem Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali harus ditukar.

Menurut beliau, istilah kartel tidak sesuai kerana ia memberi gambaran kumpulan yang terlibat dalam pengedaran dadah.

“Nama kartel tak elok orang dengar sebab apa? Orang dengar di luar tak sihat bunyinya tidak sesuai dengan idealisme PKR.

“Orang degar pun kartel ini macam orang jual dadah. Tukarlah nama yang seronok sedikit. Letakanlah nama yang nampak berdakwah macam tabligh. Istilah Kartel kalau nak ahli-ahli seronok letak istilah kartun,” katanya yang disambut hilai tawa perwakilan.

Umum mengetahui istilah ‘kartel’ dikaitkan dengan kem Azmin antaranya Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Tuan Chua dan Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shaari.

Sementara itu, wakil AMK Negeri Sembilan, S Surumaran mencadangkan usul potongan 50 peratus bayaran PTPTN kepada peminjam-peminjamnya.

Katanya, isu hutang PTPTN terus menjadi perhatian orang muda kerana janji yang ditawarkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

“Kita tidak boleh berdolak dalik. Janji itu janji.

“Saya mencadangkan supaya hutang PTPTN dihapuskan sebanyak 50 peratus buat permulaan ini dan bakinya sebelum hujung penggal pentadbiran Pakatan Harapan untuk mendapat mandat yang lebih besar daripada rakyat khususnya anak-anak muda,” katanya ketika sesi membahaskan ucapan dasar Ketua AMK, hari ini.

Dalam pada itu, Surumaran turut mencadangkan supaya gaji minimum diluaskan kepada semua kawasan tanpa memberi tumpuan kepada kawasan bandar. -MalaysiaGazette