Ketua AMK PKR Kedah, Mohammed Firdaus Johari berucap pada sesi perbahasan pada Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto IQBAL BASRI, 07 DISEMBER 2019

AYER KEROH – Ketika perbahasan ucapan dasar presiden, seorang perwakilan Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan apakah sumbangan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memegang jawatan dalam kerajaan.

Ketua AMK PKR Kedah, Mohammed Firdaus Johari bertanya, apakah program yang dibawa masuk oleh Azmin kepada parti khususnya kepada anak-anak muda.

“Golongan anak muda di negara ini masih terhimpit dengan masalah ekonomi.

“Saya ingin bertanya apakah program (yang dibawa Azmin) untuk anak muda, sehingga dapat dirasai,” katanya di Kongres Nasional PKR, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC).

Ketika Mohammed Firdaus berbahas, Azmin berada pada kerusinya di atas pentas selaku Timbalan Presiden PKR.

Menutup perbahasannya, Firdaus turut mempersoalkan mengenai kepimpinan Azmin di dalam parti yang dilihat berbeza dengan Anwar.

“Presiden, Anwar Ibrahim mempunyai hak lantikan. Kita hormat organisasi rakyat, ketepikan kabilah fokus kerja dan amanah diberikan.

“Janganlah jadi talam dua muka untuk keuntungan diri sendiri,” katanya lagi. -MalaysiaGazette