Ramli Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor dengan penuh pengharapan berkata, semua pihak jangan sangsi dan bimbang berkaitan matlamat perjuangannya.

Tegasnya, beliau tetap teguh mendukung penuh perjuangan politik UMNO kerana jasa dan budi parti itu kepada agama, bangsa dan negara amat besar sekali.

“Atas kapasiti diri saya sendiri, wakil rakyat berketurunan Orang Asli yang pertama dalam catatan sejarah negara ingin saya nyatakan bahawa anda semua tidak perlu sangsi atau bimbang matlamat perjuangan saya.

“Saya menyatakan di sini dengan ikhlas dan tulus, mengisytiharkan menyokong perjuangan politik UMNO dan mendukung Perlembagaan UMNO tanpa sebarang kesangsian.

“Percayalah saya sesekali tidak akan berpaling dari wadah perjuangan UMNO. Selagi UMNO teguh dalam memperjuangkan nasib orang Melayu, Bumiputera dan Orang Asli. Memperjuangkan agama Islam dan membela nasib rakyat,” ujar dalam UMNO Online.

Ramli adalah wakil negeri Pahang dalam membahaskan Usul Ucapan Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Bulan lalu, hangat berita mengenai pertemuan beberapa orang ahli Parlimen UMNO, antaranya termasuk Ramli sendiri dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kediaman rasminya di Putrajaya, hingga timbul pelbagai spekulasi politik.

Bagaimanapun, mereka yang terlibat telah menerangkan tujuan sebenar perjumpaan adalah bagi membincangkan penyaluran projek-projek kerajaan ke kawasan mereka.

Jelas perwakilan dari UMNO Bahagian Cameron Highlands itu lagi, apa yang penting bagi semua pendukung parti adalah terus mempertahankan ‘rumah’ UMNO dengan segala kudrat dan semangat yang ada.

“Budi dan jasa UMNO kepada rakyat bukan kepalang. Jangan sesekali mengkhianati perjuangan UMNO, jangan sesekali lupa perjuangan UMNO. Hari ini bukan bermula semalam tetapi sebelum merdeka.

“Ini perjuangan kita, perjuangan datuk nenek kita, wadah kita, ini ‘rumah’ kita, pertahankanlah dengan segala kudrat dan semangat,” katanya lagi yang mendapat tepukan gemuruh dari perwakilan.

Begitu juga katanya semua pihak perlu menjauhi anasir-anasir negatif yang boleh melemahkan UMNO.

“Jauhi tikam belakang, hasad dengki, budaya mencaras di dalam mencapai inspirasi individu atau kumpulan kerana secara langsung ia melemahkan perjuangan UMNO.

“Ia juga hendaklah dijauhi di peringkat akar umbi sesama ahli, sentiasa berwaspada kepada spekulasi politik, fitnah, iri hati di kalangan ahli atau kepimpinan. Selalulah beristiqamah dalam prinsip perjuangan UMNO,” ujarnya lagi.

Ramli turut menyeru kepimpinan parti agar memperhebatkan sesi penerangan aspirasi Muafakat Nasional kepada akar umbi agar mereka lebih memahami dan menghayatinya.

Katanya, Muafakat Nasional merupakan satu hikmah yang besar merangkumi kerjasama politik antara UMNO dan PAS tanpa mengetepikan parti-parti komponen BN seperti MCA dan MIC serta mengambil kira kepentingan masyarakat majmuk berasaskan Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette