Allahyarham Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Seri Paduka Raja, Daud Muhammad

KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Seri Paduka Raja, Daud Muhammad, 84, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), petang semalam.

Allahyarham dilapor menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 6.55 petang.

Menerusi Facebook, Menteri Besar kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengucapkan takziah kepada keluarga dan seluruh warga Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan di atas pemergian Allahyarham.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” tulisnya.

Allahyarham dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie Kelantan sejak tahun 1989 dan penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2019 peringkat Kebangsaan.

Antara sumbangan Allahyarham ialah sebagai panel dan pakar rujuk komuniti syariah Jabatan Peguam Negara, panel Hakim Mahkamah Rayuan, Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Daud dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie Kelantan sejak 1989 hingga sekarang.

Semasa hayat, beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2019 daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Allahyarham juga pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hirah Peringkat Negeri Kelantan 2011 dan Anugerah Tokoh Syariah Jabatan Kehakiman Syariah 2011.

Allahyarham dilahirkan di Kota Bharu, mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab, Indera Putera, Bachok, Kelantan dan Madrasah Al-Falah, Makkah serta Saudi Al-Maahad Al-Ilmi, Al-Saudi, Makkah.

Semasa hayatnya Allahyarham banyak memberikan sumbangan antaranya menjadi panel dan pakar rujuk komuniti syariah Jabatan Peguam Negara serta panel Hakim Mahkamah Rayuan.

Allahyarham disembahyangkan di Masjid Sultan Mansor Kampung Sireh kira-kira pukul 10.30 malam tadi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setia Budi, Kampung Aman, Lundang. – MalaysiaGazette