KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuka cawangan baharu Petaling Jaya di PJX-HM Shah Tower, Persiaran Barat sejak 2 Disember lalu.

Pejabat KWSP itu  dibuka pada setiap Isnin hingga Jumaat mulai jam 8.15 pagi sehingga 5.15 petang manakala perkhidmatan kaunter pula beroperasi dari 8.30 pagi sehingga 4.30 petang, Isnin hingga Jumaat.

Antara servis yang ditawarkan di cawangan ini termasuk pendaftaran, penamaan, pengeluaran serta Perkhidmatan Khidmat Nasihat Persaraan (RAS).

Pihak majikan disarankan melakukan transaksi di Pejabat Penguatkuasaan KWSP Cawangan Petaling Jaya di Tingkat 9 & 10, Blok 1A, Plaza Sentral, Jalan Stesen Sentral 5, Kuala Lumpur Sentral.

Cawangan terbaru KWSP PJ ini menggantikan KWSP Jalan Gasing yang ditutup selepas kejadian kebakaran pada Februari 2018.

Pejabat bersejarah enam tingkat itu dibina pada tahun 1960 telah berfungsi sebagai ibu pejabat KWSP selama 35 tahun sebelum berpindah ke ibu pejabat di lokasi semasa di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette