Andri Zulkarnaen
Perwakilan dari Negeri Sarawak, Andri Zulkarnaen berucap semasa sesi perbahasan sempena Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2019 di IDCC Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 07 DISEMBER 2019

SHAH ALAM – Sudah sampai masanya kerajaan menggugurkan Gobind Singh Deo daripada jawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia kerana gagal mempromosikan kejayaan Pakatan Harapan (PH) dalam menunaikan manifesto.

Perwakilan Parti Amanah Negara (Amanah) dari Sarawak, Andri Zulkarnaen menegaskan, kegagalan itu serius apatah lagi ahli Parlimen DAP itu gagal memanfaatkan media yang dikuasai kerajaan daripada serangan musuh.

“Kita mesti merombak kepimpinan kerajaan sedia ada dengan menukar menteri-menteri yang tidak berprestasi, menteri Amanah ada prestasi, itu parti lain, saya tak sebut menteri Amanah.

“Menteri yang tiada prestasi itu kena tukar, bukan kira parti mana, antara menteri yang patut ditukar ialah menteri komunikasi yang patut ditukar.

“Sebab apa? Sebab dia gagal mempromosikan kejayaan kerajaan PH menunaikan manifesto dan mempertahankan kerajaan PH daripada serangan musuh,” katanya berucap membahaskan Pidato Presiden Amanah pada Konvensyen Nasional 2019 Amanah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Andri juga menggesa kerajaan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana media, sama ada arus perdana mahupun media sosial yang menyebarkan berita tidak benar dan berbaur fitnah.

“Media elektronik, media cetak dan pemilik media sosial yang terus menerus mengelirukan rakyat dengan fitnah, tohmah dan penipuan mesti diberi amaran atau diambil tindakan tegas berdasarkan peraturan dan undang-undang yang ada,” katanya.

Andri turut membidas media perdana yang dikuasai kerajaan masih gagal mempertahankan PH daripada sebarang serangan pembangkang khususnya UMNO dan Pas.

“Media massa lembik, lesu dan gagal mempertahankan kerajaan. Kerana itu, PH terus dituduh penipu, mungkir janji, kencing rakyat, serangan bertali arus dalam bentuk fitnah, penipuan dan tohmah yang akhirnya rakyat terkeliru dan tertipu.

“Akibatnya kita gagal membebaskan belenggu pemikiran rakyat daripada serangan musuh yang menuduh kita ini meminggirkan Islam, Raja-Raja Melayu dan kepentingan orang Melayu,” katanya.

Sementara itu, Andri mendakwa kontraktor-kontraktor UMNO masih membolot projek dan nama-nama besar pemimpin pembangkang masih dikekalkan jawatan dan dilantik menerajui agensi dan GLC kerajaan.

“Figura-figura UMNO masih dikekal dan dilantik sebagai pengerusi, CEO dan pengurus besar dalam GLC kerajaan,” dakwanya.

Lebih mengecewakan katanya, apabila pemimpin-pemimpin pembangkang yang terpalit dengan jenayah rasuah masih mendapat dipuji dan bergerak bebas tanpa sebarang sekatan.

“Selepas 19 bulan PH memerintah, Najib, Zahid Hamidi dan Tengku Adnan yang dituduh dengan pelbagai tuduhan dan salah laku masih terus bebas ke sana, ke mari tanpa had dan batasan, mereka terus dipuji dan dipuja dengan slogan bossku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.