Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbincang sesuatu dengan Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali sambil diperhatikan Naib Presiden Keadilan, Tian Chua (tengah) pada Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto IQBAL BASRI, 07 DISEMBER 2019

AYER KEROH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) boleh menerima perbezaan pendapat, bagaimanapun tidak mengiktiraf kewujudan mana-mana kem dalam parti itu.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada masalah untuk kepimpinan utama parti itu berbeza pendapat namun harus dilihat bersatu di mata akar umbi.

“Saya tidak iktiraf kepada mana-mana kem. Ada perbezaan pendapat tidak ada salah tapi mesti bersatu.

“Sebelum ini saya ambil pendekatan yang sangat lembut tapi saya ingat dalam kongres ini dan mesej yang kongres ini mahu supaya kita balik kepada landasan dan tekankan kepada isu asal mengenai pembangunan,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Kongres Nasional PKR, di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), hari ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama para perwakilan melaungkan Reformasi selepas menyampaikan ucapan dasar pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto FAREEZ FADZIL, 07 DISEMBER 2019Sebelum ini, PKR dilihat terbelah kepada dua kem iaitu pihak yang menyokong Anwar sebagai presiden dan kem yang menyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden PKR.

Kem yang menyokong Azmin dikenali sebagai kem ‘Kartel’ yang dianggotai oleh Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor, Amiruddin Shaari.

Ditanya mengenai gesaan perwakilan Sabah, Mohammad Razeff Rakimin yang mahu Azmin mengisytiharkan secara terbuka bahawa Timbalan Presiden PKR itu menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan Malaysia, Anwar bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Tidak pasti, saya bukan jurucakap dia,” katanya ringkas.

Semalam, dalam usul membahaskan Ucapan Dasar Ketua AMK, Mohammad Razeff mencabar Azmin agar berbuat demikian kepada semua perwakilan yang menghadiri kongres AMK semalam.

Beliau berkata, sesiapa yang tidak menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan boleh bertindak keluar parti dan berambus. – MalaysiaGazette