KUALA LUMPUR – Kerajaan, melalui surat daripada Suruhanjaya Tenaga, telah memberi kelulusan bagi Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk terus melaksanakan mekanisme Pelepasan Kos Bahan Api Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh 1 Jan sehingga 30 Jun 2020 (separuh pertama 2020).

TNB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kerajaan juga telah meluluskan pengurangan dalam surcaj ICPT daripada 2.55 sen bagi setiap kWj sekarang ini kepada 2.00 sen setiap kWj untuk pelanggan bukan domestik.

Pengurangan 0.55 sen bagi setiap surcaj kWj ICPT berpunca daripada kejatuhan kos arang batu sebenar untuk tempoh Julai hingga Disember 2019, walaupun harga purata arang batu yang sebenar masih di atas tanda aras bahan api yang ditetapkan dalam tarif asas bagi Tempoh Kawal Selia 2 (RP2) dari 2018 hingga 2020.

Permintaan elektrik yang lebih tinggi juga telah menyumbang kepada peningkatan kos bahan api dan penjanaan yang berkaitan bagi tempoh berkenaan.

Secara purata, harga arang batu telah menokok kepada US$77.35 setan berbanding dengan penanda aras harga yang telah ditetapkan pada tarif asas sebanyak US$75 setan.

Di samping itu, harga gas paip terkawal juga terus naik sebanyak RM1.50 bagi setiap satu juta unit termal British (mmBTU) daripada RM27.20 bagi setiap mmBTU dalam harga penanda aras yang ditetapkan dalam tarif asas kepada RM28.70 bagi setiap mmBTU.

“Ini dibuat berdasarkan keputusan Kabinet pada 3 Mei 2017, yang membolehkan pelarasan harga gas paip terkawal bagi sektor tenaga melalui kenaikan automatik sebanyak RM1.50 bagi setiap mmBTU setiap enam bulan sehingga ia mencapai Harga Rujukan Pasaran bagi tempoh tiga tahun dari 2018 sehingga 2020,” kata TNB.

Syarikat gergasi utiliti itu berkata surcaj ICPT akan dilaksanakan pada purata tarif asas sebanyak 39.45 sen bagi setiap kWj, sambil menambah bahawa tiada surcaj akan dikenakan kepada pelanggan domestik (kediaman).

Jumlah sebanyak RM62.95 juta akan digunakan daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) dengan tujuan mengurangkan surcaj ICPT bagi pelanggan kediaman.

Sementara itu, surcaj ICPT sebanyak 2.0 sen bagi setiap kWj dikenakan untuk pelanggan bukan domestik.

Di samping itu, sebarang kekurangan atau lebihan dalam ICPT pelanggan bukan domestik akan dibiayai atau dipindahkan kepada pelanggan melalui dana KWIE.

“Selaras dengan Rangka Kerja Pengawalseliaan Berasaskan Insentif dan mekanisme penentuan tarif asas dalam RP2, jumlah pelarasan hasil TNB sebanyak RM774 juta akan dipindahkan kepada KWIE bagi membantu menstabilkan tarif elektrik pada masa akan datang melalui penambahan kumpulan wang itu,” kata TNB.

Pelanggan TNB boleh menganggarkan kesan akan datang ICPT melalui penggunaan kalkulator yang terdapat pada www.myelectricitybill.my. – MalaysiaGazette