Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto FAREEZ FADZIL, 08 DISEMBER 2019

AYER KEROH – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ada menjemput beliau untuk hadir majlis makan malam yang akan dianjurkan, petang ini.

Menurut beliau, Azmin ada memberitahu beliau bahawa satu majlis makan malam di Renaissance akan diadakan dan jemputan itu dibuat dua hari lalu.

Bagaimanapun, katanya, jemputan itu tidak dapat dipenuhi kerana terikat dengan satu majlis yang diadakan di rumah beliau, malam ini.

“Azmin ada beritahu dan jemput untuk hadir malam ini dua hari lalu, tapi saya beritahu saya ada majlis di rumah saya kerana setiap Ahad malam, di rumah saya saya ada buat majlis zikir,” katanya dalam sidang media selepas Kongres Nasional PKR kali ke 14, berakhir hari ini.

Sekutu Azmin dijadualkan menghadiri majlis kelolaan Azmin itu antaranya Naib Presiden PKR, Zuraidah Kamaruddin dan Ali Biju.

Yang lain adalah Ketua Wanita PKR, Haliza Talda dan timbalannya, Dr Daroyah Alwi serta Timbakan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham.

Malah Tian Chua juga dijadualkan akan menghadirkan diri.

Azmin sebelum ini menegaskan bahawa majlis makan malam itu hanya untuk membentangkan Wawasan Kemakmuran Bersama. -MalaysiaGazette