Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak yang bertindak agresif dalam menyebarkan kenyataan atau perbuatan menyentuh sensitiviti rakyat diminta menghentikannya atau berdepan tindakan tegas berlunaskan undang-undang.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa semua pihak agar berhenti daripada membuat sebarang kenyataan atau menghentikan perbuatan yang menyentuh sensitiviti rakyat.

Katanya, beliau memandang serius perkembangan tidak sihat itu yang dianggap sebagai suatu provokasi untuk mengeruhkan keadaan di dalam negara.

“Tindakan menghina lambang negara terutama jalur gemilang dan lagu Negaraku adalah amat tidak bertanggungjawab dan tidak melambangkan semangat patriotisme.

“Pada masa sama, penganjuran sebarang aktiviti untuk memperingati atau menghidupkan semula pergerakan komunis di negara ini tidak sepatutnya berlaku dan wajar dihentikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, tambah beliau, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah menjalankan siasatan terhadap insiden-insiden tersebut.

“Dan saya telah mengarahkan agar perkembangan siasatan dimaklumkan kepada umum dalam masa terdekat.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut lunas undang-undang sedia ada terhadap mana mana pihak yang didapati dengan sengaja cuba menimbulkan kegusaran awam.

“Kerajaan melalui KDN tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindak tanduk yang mampu mengganggu gugat ketenteraman awam dan keharmonian negara,” kata beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.