Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) berbual bersama Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pada Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto FAREEZ FADZIL, 08 DISEMBER 2019

AYER KEROH – Memasuki hari terakhir Kongres Nasional PKR, drama demi drama tercetus lagi hari ini.

Kerusi Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang ditempatkan di antara Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Pengerusi Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kosong.

Acara yang bermula jam 9 pagi itu dimulakan dengan kehadiran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Wan Azizah diarak ke pintu masuk dewan kongres dengan disambut Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Hanya Tian Chua dilihat mewakili kem Azmin, pagi ini.

Kelibat dua lagi Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju juga tidak kelihatan.

Malah menurut tinjauan MalaysiaGazette, kerusi-kerusi yang seharusnya diisi para perwakilan dilihat kosong yang kemudiannya diisi oleh golongan pemerhati, malah mereka juga tidak mempunyai pas rasmi.

Acara hari terakhir kongres akan dimulakan dengan ucapan aluan Pengerusi Tetap PKR, Datuk Ahmad Kasim.

Kemuncak adalah sesi ucapan penggulungan daripada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ketua Wanita, Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden PKR. – MalaysiaGazette