Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Penerangan PKR, Sahmsul Iskandar dan sebahagian ahli PKR menyanyikan lagu 'Teman Sejati' bersama Yassin Sulaiman pada Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto IQBAL BASRI, 08 DISEMBER 2019

AYER KEROH – “Selama Ini
Ku Mencari-cari
Teman Yang Sejati
Buat Menemani
Perjuangan Suci
Bersyukur kini
Padamu Ilahi
Teman Yang Dicari
Selama Ini
Telahku Temui
Dengannya Disisi,”.

Bait-bait lagu nyanyian Yassin Sulaiman ini nyata menyentuh jiwa pada hari terakhir Kongres Nasional PKR, hari ini.

Sebelum sesi ucapan aluan Pengerusi Tetap, Datuk Ahmad Kassim bermula, penyanyi Yasin naik ke pentas bagi menyanyikan lagu Teman Sejati.

Ia dilihat pilu apabila ada rakan-rakan yang naik ke pentas menitiskan air matanya.

Di pertengahan lagu itu, dilihat kepimpinan utama PKR, antaranya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail naik ke pentas bagi mengambil bahagian dalam nyanyian itu.

Sebelum itu, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar, dan Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff, naik ke pentas bagi mengiringi nyanyian Yasin.

Ahmad Kasim selepas itu berkata, lagu yang dinyanyikan Yasin itu memberikan makna yang mendalam kepada perjuangan parti yang berusia 20 tahun itu.

“Makna yang mendalam dan beri erti kepada kita semua,” kata Ahmad Kassim.

Lagu itu seakan memerli kepada kem Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tidak kelihatan pada kongres tersebut.

Turut tidak kelihatan dua Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju. -MalaysiaGazette