Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa (kiri) mendengar penerengan daripada Nadzrul Zafran Sharul Azly, kanak-kanak yang menulis surat kepada pengerusi surau kerana menghalaunya daripada saf pertama ketika solat di sebuah surau sewaktu mengadakan pertemuan denganya di Kompleks Islam Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 09 DISEMBER 2019.

PUTRAJAYA – Masjid-masjid di seluruh negara dicadang agar mewujudkan sebuah jawatankuasa khas untuk menyantuni kanak-kanak sebagai langkah menggalakkan mereka untuk mengunjungi rumah Allah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, idea itu adalah bagi menjadikan masjid sebagai sebuah tempat ‘rahmatan’ yang sedang diketengahkan ketika ini dengan mengambil kira kepentingan terhadap kanak-kanak sebagai jemaah.

Katanya, langkah tersebut telah dilakukan di kebanyakan masjid dan Masjid Wilayah Persekutuan menjadi keutamaan untuk melaksanakan perkara berkenaan.

“Itu adalah antara idea-ideanya sebab kalau di wilayah konsep masjid rahmah itu sudah dipakai.

“Jadi saya minta khususnya di Masjid Wilayah meletakkan keutamaan antara lainnya selain daripada orang tua-tua, wanita, letak juga mesra kanak-kanak mengikut keperluan mereka, sehingga mereka seronok datang ke masjid,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mujahid berkata, beliau yakin masjid di negeri-negeri lain juga ada yang menggunapakai konsep tersebut, namun, ia kini perlu diterapkan lagi dengan lebih meluas.

Terdahulu, Mujahid menerima kunjungan daripada keluarga kanak-kanak bernama Nadzrul Zarfan Sharul Azry yang mendakwa dirinya ‘dihalau’ ke saf belakang oleh jemaah dewasa sedangkan beliau terlebih dahulu berada di saf hadapan.

Perkara itu diketahui umum selepas sepucuk surat yang ditulis oleh Nadzrul Zarfan kepada pengerusi di sebuah surau menjadi tular hingga mendapat perhatian banyak pihak.

Perkara tersebut turut mendapat respon, Mufti Wilayah Persekutan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Mengulas lanjut, Mujahid menegaskan, kesedaran kepada orang ramai berhubung langkah untuk mewujudkan hubungan mesra antara jemaah dengan kanak-kanak turut boleh dihebahkan menerusi khutbah Jumaat.

Ujarnya, ada kaedah-kaedah yang perlu diterangkan kepada jemaah di masjid dan surau berhubung langkah mendekatkan mereka dengan kanak-kanak yang perlu difahami dengan lebih mendalam.

Kata Mujahid lagi, insiden yang berlaku ke atas Nadzrul Zarfan adalah perkara yang tidak sepatutnya terjadi dan pendekatan diambil olehnya dengan menulis surat itu merupakan satu tindakan profesional yang tidak pernah dilakukan oleh kanak-kanak yang mengalami pengalaman sepertinya. – MalaysiaGazette