Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pengerusi MPOB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir (enam dari kanan) dan para pemenang Anugerah Kecemerlangan MPOB 2019 baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kemajuan bidang penyelidikan yang menjana teknologi dan inovasi baharu merupakan strategi penting pembangunan mampan industri sawit negara.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata, kesediaan pihak industri menerima pakai teknologi baharu secara menyeluruh dalam rantaian industri sawit akan menyumbang kecekapan pengeluaran dan peningkatan kualiti minyak sawit dan produk keluarannya.

Menurut beliau, kejayaan pengkomersialan teknologi juga melibatkan komitmen penggiat industri dan sektor swasta untuk memanfaatkan teknologi yang dihasilkan oleh para penyelidik.

Usaha ini penting bagi memastikan industri sawit yang mampan dan berdaya saing sebagai pemacu pembangunan ekonomi negara yang memberi kesejahteraan kepada rakyat dan generasi akan datang.

“Industri sawit berdepan dengan cabaran getir termasuk persepsi negatif terhadap isu-isu kelestarian dan pemeliharaan hutan,” kata beliau pada Malam Kecemerlangan MPOB 2019. Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalannya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata, pelbagai tindakan telah diambil oleh kementeriannya untuk membetulkan persepsi negatif terhadap minyak sawit termasuk penyebaran maklumat tepat berkenaan pembangunan industri sawit, pengurusan tanaman sawit
secara mampan, kegunaan dan khasiat pemakanan minyak sawit.

Antaranya adalah pelancaran Kempen Sayangi Sawitku bagi meningkatkan kesedaran umum terhadap kepentingan dan sumbangan industri sawit kepada ekonomi negara serta publisiti meluas melalui media bertujuan meningkatkan
pendedahan minyak sawit sebagai produk 5 bintang kebanggaan negara.

Beliau juga berkata, kerajaan telah menetapkan pelaksanaan secara mandatori pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) pada 31 Disember 2019. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) sedang giat melaksanakan pensijilan MSPO melibatkan sektor perladangan, pengilangan dan keseluruhan rantaian.

“Pensijilan MSPO adalah penting bagi memastikan pengeluaran minyak sawit mampan dan menangani persepsi negatif bagi memperkukuhkan imej minyak sawit Malaysia dari perspektif kemampanan,” katanya.

Sehingga 31 Oktober 2019, sebanyak 3.42 juta hektar atau 58.5% daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di Malaysia telah mendapat pensijilan MSPO. – MalaysiaGazette