Gobind Singh Deo

CYBERJAYA – Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) telah mendapat kerjasama baik dari semua kerajaan negeri sejak dilancarkan pada tahun lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, sokongan tersebut memboleh projek perintis itu mencapai kejayaan dalam tempoh masa yang pantas.

Beliau berkata, pada masa sama, kerjasama itu membolehkan kos NFCP sebanyak RM21.6 bilion selama lima tahun pelaksanaannya dapat dikurangkan.

“Saya menghargai sokongan yang diberi oleh kerajaan-kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan yang telah memudahcarakan inisiatif-inisiatif berkaitan NFCP dengan mempercepatkan proses kelulusan di peringkat negeri termasuk pengurangan yuran.

“Jika sebelum ini terdapat kekangan yang wujud namun dapat diatasi menerusi kerjasama baik kerajaan negeri terutama tempoh kelulusan yang cepat.

“Selain kerajaan negeri, NFCP turut mendapat kerjasama daripada pemain penggerak industri sebagai satu projek infrastruktur yang penting dan juga sebagai satu usaha strategik untuk meningkatkan daya saing negara dan rakyat Malaysia dalam era digital ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ringkas selepas mendengat taklimat Bilik Operasi NFCP di Menara 1 MCMC di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia itu, Al-Ishsal Ishak.

Mengulas lanjut, Al-Ishsal memberitahu, projek NFCP 1 akan dianugerahkan kepada pemegang lesen yang telah berjaya dipilih menerusi proses tender pada awal Januari ini.

Beliau berkata, pemegang lesen yang terpilih dikehendaki untuk memasang kemudahan rangkaian dan melaksanakan perkhidmatan rangkaian bagi penyediaan perkhidmatan bersel awam menggunakan teknologi 3G dan 4G dengan kelajuan purata 30 Megabit sesaat (Mbps).

Jelas beliau, NFCP 1 melibatkan 153 lokasi yang merangkumi 94 mukim di lapan buah negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Terengganu dan Sabah.

“Syarikat utama industri telah bersetuju untuk bekerjasama mencari jalan penyelesaian terbaik untuk berkongsi infrastruktur mereka.

“Diharal perkongsian ini dapat mempercepatkan pencapaian sasaran- sasaran NFCP dengan kos yang efektif,” katanya.

Al-Ishsal menambah, pihak juga telah mengeluarkan satu dokumen tender pada 15 November lalu untuk projek NFCP 2.

Jelas beliau, fasa kedua itu melibatkan sebanyak 500 lokasi di 210 mukim di 10 buah negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Di bawah NFCP 2, pihak pemegang lesen juga perlu memasang kemudahan rangkaian dan melaksanakan perkhidmatan rangkaian bagi penyediaan perkhidmatan bersel awam menggunakan teknologi 3G dan 4G dengan kelajuan purata 30 Mbps.

“Pemegang lesen mempunyai tempoh sehingga 31 Mac 2020 untuk menghantar bidaan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Sebuah Bilik Operasi NFCP telah diwujudkan oleh MCMC, lengkap dengan metrik dan papan-papan pemuka (dashboards) bagi memberikan fokus kepada sasaran-sasaran NFCP, kualiti pengalaman dan perkhidmatan serta pemantauan projek-projek itu.

Pendekatan yang berpandukan data (data-driven) ini akan membolehkan MCMC memantau prestasi dan pelaksanaan NFCP dengan lebih efektif. – MalaysiaGazette