Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memotong pulut kuning sempena ualng tahun kelahirannya sambil diiringi isterinya, Datin Seri Norhayati Musa dan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bulan Disember KPDNHEP 2019 di Dewan Serbaguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Presint 2, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2019.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi Bahagian Penguatkuasa mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) khusus untuk transaksi dalam talian bagi memperkasakan sistem penyampaian dan melindungi pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, SOP itu bertujuan menyeragamkan prosedur untuk kegunaan pegawai penguatkuasa kementerian menangani aduan yang melibatkan penipuan penjualan atas talian selain transaksi kewangan, pelaburan dan pelanggaran harta intelek.

“Terdapat 17 kesalahan yang berpotensi telah dikenal pasti melibatkan transaksi dalam talian di bawah Akta yang dikuatkuasakan oleh Bahagian PenguatKuasa termasuklah (7 kesalahan) Akta Perlindungan Pengguna 1992, 5 kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, 2 kesalahan Akta Jualan Langsung dan Skim Antipiramid 1993 dan 1 kesalahan di bawah Timbang dan Sukat 1972,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KPDNHEP.

Inisiatif ini ujar beliau, dilihat perlu apabila aduan transaksi dalam talian merupakan kedua tertinggi yang diterima kementeriannya sehingga 7 Disember tahun ini melibatkan 4,993 aduan .

Dalam masa sama, beliau mengumumkan Kempen Pematuhan Tahun 2020 Akta Syarikat 2016, dengan tawaran pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus untuk komuniti korporat.

Kempen ini jelasnya, bermula Januari sehingga April tahun depan.

Antara komuniti korporat yang menerima pengurangan kompaun itu hanya terpakai kepada kesalahan lazim iaitu gagal menyerah simpan penyata tahunan, gagal menyediakan penyata dan mengedar penyata kewangan termasuk gagal menyerah simpannya.

Tambah beliau, diskaun ini juga terpakai untuk syarikat yang ingin dikekalkan pendaftaranya dan yang tidak aktif.

Saifuddin turut melancarkan kempen Back To School bagi membantu ibu bapa membuat persediaan anak-anak kembali ke sekolah dengan menawarkan peralatan sekolah yang lebih murah di pasar-pasar raya. – MalaysiaGazette