Ashraf Mustaqim
Mohd Ashraf Mustaqim

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan MAYC Kebangsaan, Saiful Anuar Sazali menemplak Exco Armada Nasional, Mohd Ashraf Mustaqim apabila membuat tuduhan terhadap dirinya dengan mengeluarkan kenyataan secara emosi.

Menurut Saiful Anuar, Mohd Ashraf telah membuat kenyataan secara dangkal apabila mengatakan Majlis Belia Malaysia (MBM) hanya membazirkan wang rakyat untuk memperkasakan belia yang sibuk berpolitik untuk menghancurkan negara.

Malah beliau mendakwa, Mohd Ashraf yang dianggap ‘separuh masak’ tentunya tidak mengetahui bahawa MAYC tidak pernah menerima sebarang bantuan secara terus daripada Kementerian belia dan Sukan semenjak Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara.

“Mengambil semangat Malaysia Baharu yang kononnya menggalakkan kebebasan bersuara Mohd Syahbuddin Hashim di atas kapasitinya sebagai pemimpin belia hanya menyuarakan dan kritikan yang membina.

“Mana mungkin teguran dan kritikan membina ini mampu untuk menghancurkan negara seperti yang dinyatakan oleh Exco Armada yang seorang ini, sungguh tidak masuk akal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Mohd Ashraf dilapor mencabar Pengerusi Tetap MBM, Mohd Syahbuddin Hashim membawa keluar MBM dari sistem Registrar of Youth (ROY) dan bergerak sendiri di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Mohd Ashraf mendakwa, Syahbuddin semasa berucap pada Perhimpunan Agung UMNO telah mengeluarkan kenyataan palsu dan berniat jahat terhadap Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Keadaan itu, katanya, bertentangan dengan kedudukannya sebagai Pengerusi Tetap MBM dan badan belia negara itu berada di bawah naungan sistem KBS serta menagih hidup pihak kerajaan Malaysia untuk terus kekal relevan.

Mengulas lanjut Saiful Anuar menggesa agar Mohd Ashraf mengeluarkan kenyataan yang lebih matang tanpa perlu menggunapakai perkataan-perkataan yang dianggap seperti ‘sampah’ iaitu kera, anjing, babi hutan untuk memperkuatkan hujahnya.

Ujarnya, sikap angkuh tidak bertempat yang ditunjukkan oleh Mohd Ashraf itu bukanlah contoh baik buat anak muda dan golongan belia di negara ini.

“Menuduh bahawa Mohd Syahbuddin Hashim bersifat dengki kepada pertubuhan-pertubuhan belia yang telah dibantu oleh menteri juga adalah berniat buruk dan tidak berasas sama sekali.

“Tiada satu kenyataan pun yang telah dikeluarkan oleh beliau diatas kapasiti Presiden MAYC berhubung perkara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa supaya Mohd Ashraf dapat mengambil masa untuk meneliti dan memahami Perlembagaan MBM sebelum mengeluarkan kenyataan-kenyataan emosi dan sekadar mengikut perasaan sahaja.

“Jika saudara Exco Armada ini kurang periksa Mohd. Syahbuddin Hashim ini merupakan Tokoh Belia Negara 2016 dan Tokoh Belia ASEAN 2016.

“Maka sudah pastinya beliau mempunyai segala asas dan pertimbangan dalam setiap teguran dan kritikannya.

“Suara beliau bukanlah suara orang emosi yang tidak tahu pucuk dsan pangkal, tetapi suara akar umbi anak muda golongan belia di seluruh pelusuk negara.

“Saudara Exco Armada ini siapa? Dan mewakili golongan belia mana?” soalnya. – MalaysiaGazette

Syahbuddin sila bawa MBM berambus dari sistem KBS-ROY – Ashraf