Mohd Ashraf Mustaqim

KUALA LUMPUR –  Armada Nasional Bersatu hari ini mencabar Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Syahbuddin Hashim membawa keluar MBM dari sistem Registrar of Youth (ROY) dan bergerak sendiri di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Exco Armada Nasional, Mohd Ashraf Mustaqim berkata, Syahbuddin semasa berucap di Perhimpunan Agung UMNO telah mengeluarkan kenyataan palsu dan berniat jahat terhadap Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Keadaan itu, katanya, bertentangan dengan kedudukannya sebagai Pengerusi Tetap MBM dan badan belia negara itu berada di bawah naungan sistem KBS serta menagih hidup pihak kerajaan Malaysia untuk terus kekal relevan.

“Jika benar Pengerusi Tetap MBM ingin berlaku khianat dan menyalahguna kapasitinya dengan memainkan sentimen politik kepartian, saya cabar Syahbuddin merangka pelan tindakan untuk bawa MBM keluar dari sistem ‘Registrar of Youth’ (ROY).

“Boleh nyah dari ROY dan jalan sendiri di bawah ROS! Jangan MBM bazirkan duit rakyat untuk memperkasakan belia dengan sibuk berpolitik yang menghancurkan negara. Jujurlah dalam berkata-kata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashraf juga mengingatkan Syahbuddin supaya melupakan perbincangan antara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden MBM, Jufitri Joha di Parlimen baru-baru ini di mana Menteri Belia dan Sukan tu menyatakan hasrat untuk membantu dana tambahan berkait pengurusan MBM.

 Mohd Syahbuddin Hashim berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 06 DISEMBER 2019.

Katanya, dengan perkembangan terbaharu itu, Jufitri yang turut hadir ke Perhimpunan Agung UMNO juga boleh melupakan hasrat menteri dan mengikut pelan tindakan Syahbuddin untuk membawa keluar MBM dari ROY.

“Syahbuddin telah mengeluarkan pernyataan falasi dalam ucapannya semalam bahawa kononnya Menteri Belia dan Sukan telah mengekang pihak MBM daripada bersuara.

“Jika benar YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selaku Menteri Belia mengekang MBM, pastinya kehadiran Jufitri Joha ke Perhimpunan Agung UMNO telah dikecam hebat pelbagai pihak utamanya pihak menteri sendiri.

“Namun pihak menteri bukan sahaja tidak mengecam malah jelas bersifat terbuka dengan kehadiran Jufitri dalam himpunan tersebut. Tiada kecaman, tindakan atau desakan untuk Jufitri meletakkan jawatan,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian mengenai kejadian sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu di mana Aizad Roslan yang dipilih secara undian selaku Naib Presiden MBM telah dikecam hebat kerana menyertai Bersatu.

Ashraf turut merujuk sikap Syahbuddin yang menurutnya berunsur dengki apabila Syed Saddiq membantu badan-badan tidak berkepentingan yang ikhlas berkhidmat untuk rakyat.

Katanya, manusia seperti Syahbuddin tidak layak bergelar pemimpin belia dan jika beliau mahu memperkasakan belia, tidak perlu terpekik terlolong menyondol ke sana ke mari seperti babi hutan apabila menteri mahu memperkasakan had umur belia 30 tahun. – MalaysiaGazette