Zakaria Arshad

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holdings (FGV) mendakwa syarikat itu dalam keadaan yang baik dan menguntungkan sejak ia ditubuhkan sehingga pertengahan tahun 2018.

Datuk Zakaria Arshad berkata, bagaimanapun FGV rugi besar berbilion ringgit selepas itu.

“… sejak ‘FGV’ ditubuhkan semasa zaman Tan Sri Raja Alias sehinggalah pertengahan tahun 2018 (semasa saya masih menjadi CEO), FGV berada dalam keadaan yang baik dan memperoleh keuntungan.

“Tetapi FGV rugi besar berbilion ringgit selepas itu dan terus mencatat kerugian demi kerugian serta kontroversi demi kontroversi,” kata Zakaria menerusi blognya.

Beliau sedih dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyebut “FGV ini dia rugi banyak sangat, biasanya bila syarikat rugi, dia closed down (ditutup) atau dijual kepada orang lain. FGV rugi berbilion, jika nak jual syarikat rugi (milik kerajaan) jual lah”

Zakaria mengakui beliau dan beberapa orang ketua NGO Felda termasuk ketua peneroka ada dijemput oleh pihak yang dikatakan mewakili Tan Sri Syed Mokhtar untuk diberikan penerangan.

Menurutnya, beliau tidak tahu kenapa dijemput untuk sesi penerangan itu.

Namun Zakaria tidak menolak kemungkinan pihak berkenaan tahu beliau menentang keras sebarang usaha untuk mengambil alih FGV.

Zakaria berkata, dalam sesi tersebut, pihak Syed Mokhtar memaklumkan beberapa cadangan sekiranya mereka diberi peluang untuk menjadi rakan strategik dan pemegang saham terbesar FGV.

Antara cadangan yang diberikan Zakaria adalah membatalkan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan mengembalikan tanah seluas 350,000 hektar kepada Felda, mendapatkan dana untuk membantu Felda melaksanakan program tanam semula ke atas ladang peneroka yang telah tertunggak dan membantu KPF meningkatkan pegangan saham di dalam FGV serta melindungi pegangan saham Felda dan KPF di dalam FGV.

Selain itu, memberi jaminan prestasi kepada Felda dan KPF di dalam pengurusan kilang dan operasi ladang dan bekerjasama dengan Felda dan KPF untuk melindungi peneroka daripada harga pasaran sawit yang tidak menentu.

Mengembangkan dan menambah nilai aktiviti hiliran syarikat tempatan secara agresif untuk menyelamatkan industri minyak kelapa sawit Malaysia dan mencegah minyak sawit mentah daripada dieksport dengan harga yang lebih murah.

Zakaria juga mencadangkan Felda, KPF dan Tradewinds menubuhkan konsortium untuk melindungi peladang tempatan dan industri minyak sawit daripada pedagang dan tekanan pasaran melalui pembelian buah sawit oleh konsortium dan melaksanakan mekanisme jaminan harga.

Beliau turut mengesyorkan penggunaan sumber daripada syarikat kumpulan Syed Mokhtar untuk membangunkan penempatan Felda termasuk infrastruktur, telekomunikasi, sumber makanan, pengangkutan, tenaga, pendidikan dan budaya.

“Cadangan ini adalah untuk melindungi FGV dan asset-asetnya daripada dimanipulasi oleh pedagang rakus, syarikat konglomerat asing dan orang yang tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil kesempatan ke atas FGV dan Felda pada ketika ianya berada dalam kedudukan yang paling lemah,” ujarnya.

Zakaria mengakui selepas tamat sesi penerangan itu dan selepas mengetahui cadangan daripada pihak Syed Mokhtar, kegusarannya sangat berkurangan.

Bagaimanapun, katanya, cadangan pengambilalihan FGV mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan bekas-bekas pemimpin Felda dan Felda Holdings, pemimpin-pemimpin syarikat swasta dan pelbagai pemegang kepentingan FGV

Malah, ada yang membuat kenyataan keras iaitu sesiapa menyokong kemasukan Syed Mokhtar ke dalam FGV dianggap ‘penghianat’.

Bagaimanapun, Zakaria berkata, beliau belum membuat sebarang pendirian berhubung cadangan pengambilalihan FGV.

Tetapi, ujar beliau, Felda, FGV dan KPF mestilah melihat sesuatu tindakan itu dari sudut realiti, bukan emosi dan apa yang paling penting adalah kebaikan kepada peneroka dan generasinya. – MalaysiaGazette

Dr Mahathir tidak tahu perbincangan ambil alih FGV