Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali beramah mesra dengan pelatar suara bagi watak watak filem Ejen Ali semasa hadir tayangan khas Ejen Ali The Movie di GSC Pavillion, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir menyaksikan tayangan khas filem Ejen Ali The Movie di GSC Pavilion, malam ini.

Dr Mahathir yang diiiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di sini kira-kira pukul 8.45 malam.

Ketibaan pemimpin nombor satu negara itu disambut para penonton lain yang hadir sama untuk memberikan sokongan kepada filem animasi yang mencetus fenomena ketika ini.

Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali bergambar dengan Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid (lima kiri) dan pelatar suara bagi watak-watak dalam Ejen Ali ketika hadir pada tayangan khas Ejen Ali The Movie di GSC Pavillion, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2019

Antara yang turut hadir pada Ketua Pegawai Eksekutif, Primeworks Studios dan Ketua Pegawai Eksekutif, WAU Animation, Usamah Zaid Yasin iaitu penerbit bersama filem itu.

Sementara itu, Ejen Ali The Movie kini menggegarkan pawagam apabila memungut RM13 juta selepas tujuh hari tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Filem yang ditayangkan sejak 28 November lalu bukan sahaja meraih kutipan tertinggi dan mendominasi carta GSC Top 10 Movies selama empat hari berturut-turut, malah menjadi pilihan utama dalam kalangan penggemar filem.

Sebelum ini, Ejen Ali The Movie mengungguli tempat pertama dalam carta filem pecah panggung tempatan dengan kutipan melebihi RM1.8 juta, pada hari pertama tayangan.

Filem terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation itu mengisahkan Ali, budak berusia 12 tahun yang direkrut menjadi penyiasat bagi sebuah agensi perisikan dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA).

Ali ditugaskan melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar.

Konflik timbul apabila Ali mendapat tahu dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa iaitu Infinity Retinal Intelligence System (IRIS).

Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali mendengar sesuatu daripada Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid (kiri) semasa hadir tayangan khas Ejen Ali The Movie di GSC Pavillion, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2019

Gajet itu diubahsuai menjadi IRIS Neo, perkakasan yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen lain.

Inovasi baharu ini dipersoalkan Ali apabila dia merasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat.

Pada saat itu, Ali didatangi individu misteri yang mendakwa tahu kisah silamnya. Jadi, bermulalah pengembaraan Ejen Ali demi membongkar kebenaran biarpun kesetiaannya terhadap MATA teruji.

Ketika ini, Ejen Ali The Movie ditayangkan di 162 pawaram di negara ini, Singapura dan Brunei. – MalaysiaGazette