KUALA LUMPUR – Peneroka dan generasi Felda tidak boleh lagi diperdaya dengan janji mana-mana pihak untuk menyelamatkan Felda dan FGV Holdings Berhad (FGV) sebagaimana yang telah berlaku pada penyenaraian FGV pada 2012.

FGV disenaraikan dengan menjanjikan sumber pendapatan
baharu namun apa yang dijanjikan itu tidak kesampaian apabila harga saham FGV merudum daripada RM4.55 sen sesaham turun sehingga RM1.22 sen pada 2016 dan hanya
berada sekitar di bawah RM2.00 pada awal 2018.

Kesannya, aliran tunai dan operasi Felda mula terjejas apabila FGV gagal memberi pulangan sepatutnya kepada Felda yang
memerlukan sekurang-kurangnya RM800 juta setahun bagi kos operasi.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) kawasan Tenggara, Ridhuan Esa berkata, sejak beberapa bulan ini terdapat tawaran oleh pihak ketiga untuk menyelamat dan memulihkan Felda melalui pengambilalihan FGV.

“Berdasarkan satu artikel yang di siarkan oleh The Edge bertajuk Syed Mokhtar Making His Move On FGV pada 30 September 2019
dan The Malaysian Insight bertajuk Upside To Syed Mokhtar Buying Into FGV bertarikh 3 Oktober 2019 menyatakan tindakan untuk mengambil alih 20% pegangan daripada Felda dengan cagaran tanah di Nusajaya, menyemak semula perjanjian pajakan 350,000 hektar tanah dan beberapa cadangan lain yang telah digariskan.

“Perlaksanaan cadangan yang dinyatakan kelak, Felda dan peneroka dijanjikan FGV akan berada di landasannya serta
akan membantu memulihkan masalah aliran tunai Felda,” katanya yang juga anak peneroka Felda.

Menurut Ridhuan, beliau bimbang FGV sengaja diurus untuk terus menanggung kerugian agar ia boleh diambil alih dengan harga yang murah oleh mana-mana pihak dengan bayangan untuk menyelamatkannya.

Ridhuan berpendapat, dengan mengambilalih 20 peratus pegangan daripada Felda akan mendedahkan risiko yang lebih besar.

Ini kerana, katanya, Felda tidak mempunyai kuasa penentu divdalam FGV bagi memastikan segala dasar dan halatujunya mesti mengutamakan kepentingan Felda dan peneroka.

“Persoalannya juga, bagaimana FGV boleh memulihkan pendapatan Felda jika pegangan ke atas FGV lebih kecil.

“Risiko manipulasi kadar perahan oleh kilang juga boleh terjadi dan akan menjejaskan pendapatan peneroka di mana hasil yang dari ladang peneroka diberi kadar perahan yang rendah dari yang sepatutnya.

“Perkara ini juga sedang berlaku di mana jika dilihat pada laporan suku ke-3 FGV mengumumkan prestasi kadar perahan minyak sawit (OER) adalah 21peratus sedangkan secara purata peneroka hanya menerima sekitar 19 hingga 20 peratus sahaja,” ujarnya.

Jelas beliau, ia memberi kesan kepada pendapatan peneroka yang mana perbezaan 1 petratus sekalipun boleh menyebabkan kerugian ribuan ringgit setahun kepada peneroka.

Selain itu, katanya, Felda juga tidak mendapat insentif hantaran
daripada kilang-kilang sawit FGV yang dibekalkan BTS yang sepatunya dapat memberi pendapatan tambahan kepada Felda dan peneroka.

Ridhuan mendakwa pihak ketiga hanya ingin menguasai bank tanah untuk menyaingi Sime Darby yang mempunyai bank tanah melebihi 590,000 hektar.

“Selain itu menguasai industri hiliran seperti 68 buah kilang pemprosesan sawit juga menjadi idaman dalam memastikan monopoli komoditi utama negara dan dunia menjamin pendapatan masa depan,” jelasnya.

Beikutan itu, beliau mempersoalkan rasional pengambilalihan tersebut ketika CIMB Reseacher telah meramalkan harga komoditi itu akan meningkat menjelang 2021.

Ridhuan berkata, para peneroka tidak mahu pengambilalihan itu
rugi dan tidak berprestasi dijadikan alasan untuk menutup kegagalan pengurusan yang disengajakan bagi memastikan kapitalis mencari peluang menguasainya dengan harga yang murah. – Malaysiagazette