Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali bergambar dengan Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid (lima kiri) dan pelatar suara bagi watak-watak dalam Ejen Ali ketika hadir pada tayangan khas Ejen Ali The Movie di GSC Pavillion, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan filem animasi Ejen Ali The Movie berkelas dunia.

Beliau berkata, ia hasil adunan terbaik dan sempurna dari segi jalan cerita, teknologi dan muzik.

“Macam menonton filem luar negara.

“Tak seperti Malaysia kerana nampak setaraf dunia dan kita boleh bangga, saya puji,” katanya.

Beliau yang ditemui media selepas menonton tayangan khas filem animasi itu di Pawagam GSC Pavilion malam tadi.

Dr Mahathir bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hadir menonton filem animasi yang dihasilkan WAU Animation itu bersama kakitangan Pejabat Perdana Menteri dan Pengurusan Media Prima Berhad (MPB).

Ejen Ali The Movie yang berdurasi 97 minit itu berjaya memungut RM13 juta selepas tujuh hari tayangan di 162 pawagam di seluruh negara, Singapura dan Brunei.

Filem animasi itu turut mendominasi carta GSC Top 10 Movies selama empat hari berturut-turut, selain menjadi pilihan utama dalam kalangan penggemar filem.

Sebelum ini, Ejen Ali The Movie mengungguli tempat pertama dalam carta filem pecah panggung tempatan dengan kutipan melebihi RM1.8 juta, pada hari pertama tayangan, 28 November lalu.

Filem terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation itu mengisahkan Ali, budak berusia 12 tahun yang direkrut menjadi penyiasat di agensi perisikan dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA).

Ali ditugaskan melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar.

Konflik timbul apabila Ali mengetahui dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa iaitu Infinity Retinal Intelligence System (IRIS).

Gajet itu diubahsuai menjadi IRIS Neo, perkakasan yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen lain.

Inovasi baharu itu dipersoalkan Ali apabila dia merasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat.

Pada saat itu, Ali didatangi individu misteri yang mendakwa tahu kisah silamnya.

Jadi, bermulalah pengembaraan Ejen Ali demi membongkar kebenaran biarpun kesetiaannya terhadap MATA teruji. – MalaysiaGazette