Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan beliau telah menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri dengan memecat menteri sesuka hati.

Ia termasuk pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana kelantangan mereka bersuara dalam isu penyewelengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kedua-dua bekas menteri UMNO itu dipecat bekas Perdana Menteri itu ketika merombak Kabinet pada 2015.

Bagaimanapun, Najib menafikan tindak tanduknya itu bersifat peribadi, sebaliknya ia dilakukan kerana kedua-dua mereka tidak menggunakan platform betul (mensyuarat Kabinet) untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dan membicarakan isu 1MDB secara terbuka.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh Ketua Pendakwaan yang juga Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Thomas: Sebagai Perdana Menteri, anda juga mempunyai kuasa untuk memecat Menteri. Adakah anda tidak malu sebenarnya untuk menggunakan kuasa sebagai Perdana Menteri untuk memecat timbalan kamu ketika itu, Muhyiddin Yassin?

Anda juga bertindak memecat Shafie Apdal yang merupakan Menteri.

Najib: Saya tidak pernah menyalahgunakan kuasa saya seperti itu.

Thomas: Ini adalah fakta umum bahawa kamu sememangnya bertindak sedemikian.

Najib: Saya pecat kedua-dua mereka bukan kerana mereka tidak bersetuju dengan saya. Saya pecat mereka tidak menyuarakan rasa tidak puas hati dalam Kabinet yang sepatutnya dilakukan.

Sebaliknya mereka bertindak bersuara kepada umum. Itu puncanya.

Muhyiddin yang bertindak keluar UMNO kini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) beliau memegang jawatan Menteri Dalam Negeri (KDN) manakala Shafee pula Ketua Menteri Sabah.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sistem berkenaan akan beroperasi di empat kawasan yang mempunyai jeti untuk perniagaan tersebut di Kudat, Tawau, Sandakan dan Lahad Datu.
Mohd Shafie Apdal

Dalam pada itu, Najib juga menafikan cadangan Tommy bahawa beliau bertindak melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Kewangan kerana mahu menguasai kementerian itu serta Jabatan Perbendaharaan bagi mendapatkan dana pinjaman kepada 1MDB.

“Saya benar-benar tidak bersetuju dengan cadangan kamu itu,” tegasnya.

Bagaimanapun Tommy berkata, sebagai Perdana Menteri, Najib  semestinya tidak mempunyai kuasa seumpama itu namun sebagai Menteri Kewangan, perkara itu adalah munasabah.

“Saya langsung tidak setuju dengan tuduhan tersebut,” kata Najib.

Terdahulu, Najib memberitahu mahkamah walaupun bersetuju dengan Tommy bakawa seseorang Perdana Menteri mempunyai kuasa yang luas namun pada masa ia juga mempunyai batas tertentu.

“Kuasa seorang Perdana Menteri ada batasan dan tidak mutlak sebenarnya,” katanya.

Selepas penangguhan makan tengah hari, Tommy memohon supaya Mohd Nazlan memberi perintah kepada Najib agar tidak mengadakan sebarang perbincangan atau bercakap dengan peguamnya sebelum beliau selesai sesi pemeriksaan balas.

Mohd Nazlan kemudian membenarkan permohonan tersebut.

Hari ini merupakan hari ke-4 Najib memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama dalam perbicaraan terhadap dirinya dari kandang saksi setelah 3 hari membacakan kenyataan saksi sepanjang 243 halaman. – MalaysiaGazette