Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (dua kiri) mendengar penerangan dari Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Ismail Mokhtar ketika membuat lawatan ke Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin di Kepong, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 10 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Sebuah stesen pemindahan sisa pepejal yang baharu akan dibina bagi menampung jumlah pungutan sampah yang semakin banyak ketika ini.

Ia akan dibina di kawasan seluas 12 ekar bersebelahan Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Taman Beringin, di sini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, pembinaan stesen tersebut merupakan langkah selari yang terkini dalam bentuk pembangunan dan perancangan serta susun atur teknologi mengurus sisa pepejal yang sudah berubah.

“Teknologi pembangunan sisa pepejal ini telah berubah dengan sangat pesat. Kita guna peluang ini, sementara buat yang baru yang ini masih beroperasi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun Zuraida berkata, projek pembinaan stesen pemindahan yang baharu itu akan memakan masa sekurang-kurangnya setahun ekoran ketika ini berlaku sedikit masalah berkaitan status tanah yang kini masih dalam kategori tanah lapang.

Katanya, untuk membangunkan stesen pemindahan yang baharu itu status tanah berkenaan perlu diubah terlebih dahulu kepada tapak pengurusan sisa ddengan memerlukan kerjasama daripada pihak-pihak yang berkaitan.

“Kemudahan yang baharu ini kita akan gabungkan dengan MRF (Material Recovery Fasiliti) yang akan kita gunakan untuk ekosistem penuh dalam program ini,” ujarnya.

Dalam pada itu Zuraida berkata, kerajaan sebelum ini bercadang untuk membina sebuah insinerator atau loji ‘waste to energy’ WTE yang baharu di kawasan tersebut namun, mendapat bantahan daripada penduduk setempat.

Ujarnya, bagi mengelakkan masa banyak dihabiskan untuk memujuk penduduk agar menerima projek yang akan dibuat di kawasan mereka itu, akhirnya pembinaan loji WTE itu diputus untuk dipindahkan ke Serendah, Selangor.

Zuraida Kamaruddin

Tambah beliau lagi, negara seperti Jepun atau negara maju lain sudah melaksanakan projek WTE itu dalam kawasan perumahan mereka sendiri untuk dijadikan tenaga elektrik yang boleh menampung kegunaan mereka.

“Ini adalah satu perkara yang rakyat Malaysia perlu belajar untuk menerima dan memahami bahawa teknologi ini boleh dipakai dan tidak akan menggugatkan kesihatan atau persekitaran.

“Tapi tidak apa, beri peluang kepada kerajaan baharu tapi pada masa akan datang kita akan terus dengan arahan itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette