MAVCOM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) meramalkan trafik penumpang pada tahun 2020 dijangka meningkat antara 5% tahun ke tahun kepada 6%, bersamaan dengan jumlah trafik penumpang antara 114.9 juta dan 116.0 juta penumpang.

Pertumbuhan trafik ini akan didorong oleh Tahun Melawat Malaysia 2020 serta peningkatan kapasiti tempat duduk domestik sebanyak 3.2 peratus tahun ke tahun.

Menurutnya, pertumbuhan pada tahun 2020 ini berikutan ramalan Mavcom pada tahun 2019 yang telah disemak semula kepada antara 109.1 juta dan 109.7 juta penumpang penerbangan, bersamaan pertumbuhan antara 6.4 peratus dan 7%.

Pada tahun 2020, kapasiti tempat duduk syarikat-syarikat penerbangan Malaysia dijangka meningkat sebanyak 2% tahun ke tahun berbanding 4.3% pada tahun sebelumnya.

Lanjutan daripada itu, purata harga tambang syarikat-syarikat penerbangan dijangka kekal atau meningkat sedikit disebabkan oleh peningkatan kapasiti yang lebih rendah.

Faktor ini juga mungkin membolehkan syarikat-syarikat penerbangan tempatan meningkatkan faktor muatan mereka.

Pada separuh pertama 2019, Malaysia telah merekodkan ketibaan pelancong melalui udara sebanyak 4.8 juta, bersamaan dengan pertumbuhan sebanyak 8.8% tahun ke tahun, lebih tinggi daripada pertumbuhan yang direkodkan bagi ketibaan pelancong secara keseluruhan melalui kesemua mod pengangkutan, iaitu sebanyak 4.9% tahun ke tahun, bersamaan dengan 13.4 juta.

Peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh ketibaan pelancong yang lebih tinggi dari Indonesia, China, dan Thailand, yang mengimbangi penurunan ketibaan pelancong dari Singapura dan Brunei.

Secara kolektif, kelima-lima negara ini menyumbang kepada 78 peratus daripada jumlah ketibaan pelancong pada separuh pertama 2019.

Mavcom berkata, pada separuh pertama 2019, purata margin keuntungan operasi syarikat-syarikat penerbangan Malaysia jatuh kepada 0.3% tahun ke tahun kerana peningkatan kos, walaupun purata kos tempat duduk kilometer tersedia (CASK) menyaksikan kenaikan sebanyak 5.9% tahun ke tahun kepada 17.9 sen.

Purata perolehan tempat duduk kilometer tersedia (RASK) telah menyusut sebanyak 2.2 peratus kepada 15.9 sen.

“MAVCOM mengambil maklum bahawa jurang negatif RASK-CASK pada separuh pertama 2019 lebih besar berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018, menunjukkan keuntungan syarikat-syarikat penerbangan Malaysia yang semakin menurun serta mencerminkan persekitaran operasi yang mencabar bagi industri penerbangan di Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette