Majoriti pasukan F1 mengkritik reka bentuk baharu tayar PIrelli yang diperkenalkan untuk musim 2020.

LONDON – Kesemua 20 pasukan Formula Satu (F1) sebulat suara menolak reka bentuk baharu tayar yang dicadangkan oleh pembekal tayar, Pirelli untuk musim 2020.

Syarikat yang berpengakalan di Itali itu meletakkan harapan tinggi agar tayar rekaan terbaharu itu akan membantu ke arah memperkenalkan tayar kurang sensitif yang bertahan lama bagi membantu pelumba bersaing dengan lebih sengit.

Namun dalam ujian terbaharu yang dlakukan di Abu Dhabi minggu lalu mendapati kesemua pasukan F1 memilih mengekalkan penggunaan tayar musim 2019.

Majoriti pasukan F1 dikatakan mengkritik reka bentuk tayar baharu itu.

Pirelli berkata, syarikat berpuas hati dengan perubahan yang dibawa pada tayar baharu tetapi difahamkan terdapt faktor lain menyebabkan ia ditolak.

Pirelli berkata, penyelesaian yang digunakan dalam reka bentuk tayar baharu itu adalah antara yang akan dilaksanakan pada musim 2021 yang akan mengalami penstrukturan semula secara menyeluruhi.

Malah katanya, pada musim 2021, semua jentera F1 akan menggunakan saiz tayar yang lebih besar akan digunakan daripada 13 inci kepada 18 inci dan tayar berprofil rendah diperkenalkan.

Peraturan teknikal yang digunapakai F1 akan mengalami perubahan ketara pada musim 2021 dan ia akan memastikan reka bentuk kereta lumba perlu diubahsuai untuk tayar baharu yang akan diperkenalkan pada 2021. – MalaysiaGazette