Seramai 97,500 pengguna Fingo adalah Preferred Shopper (pembeli pilihan) iaitu pengguna yang aktif.

KUALA LUMPUR: Fingo Sdn. Bhd., operator pasaran e-dagang sosial mencipta kejayaan luar biasa apabila mencatat keahlian seramai 650,000 pengguna hanya selepas empat bulan beroperasi di pasaran.

Ketua Wakil Perniagaannya, Yujiao Kong berkata, daripada jumlah itu seramai 97,500 pengguna adalah preferred shopper (pembeli pilihan) iaitu pengguna yang aktif.

Beliau berkata, ketika ini Fingo telah merekodkan transaksi jualan sebanyak RM200,000 sehari.

“Fingo kini menjadi dunia membeli belah atas talian yang popular kerana lebih mudah dan jimat kerana semuanya di hujung jari pengguna.

“Ketika ini, sebanyak 12,000 produk baru ditawarkan dalam usaha memenuhi keperluan ahli membeli-belah.

“Pada masa sama, syarikat menyasarkan sebanyak 30,000 produk akan dipasarkan di Fingo pada 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Fingo Star di sini baru-baru ini selain perasmian logo baharu Kelab Usahawan Selebriti Malaysia (KUSM) dan Komuniti Usahawan Selebriti E-Dagang baru-baru ini.

Serentak itu, Fingo akan menyokong aktiviti KUSM dalam usaha mempromosikan aplikasi itu di kalangan selebriti bagi menambah pendapatan golongan tersebut.

Ketua Wakil Perniagaan Fingo, Yujiao Kong

Mengulas lanjut mengenai perancangan syarikat, Kong memberitahu, Fingo menyasarkan transaksi jualan sebanyak RM3 bilion pada tahun 2020 meliputi pasaran di negara ini, Singapura, Thailand dan Indonesia.

Beliau berkata, sasaran itu akan dipacu oleh penawaran lebih banyak produk tempatan berbanding daripada luar negara.

Ketika ini katanya, produk yang ditawarkan Fingo adalah 80 peratus kebanyakan daripada China dan bakinya adalah jenama tempatan.

“Kami meletakkan sasaran untuk menawarkan lebih banyak produk tempatan dengan nisbah 50:50 pada tahun depan.

“Ini bagi membolehkan proses penghantaran barangan lebih cepat kepada pengguna,” katanya.

Kong menambah, syarikat mensasarkan untuk terus meneroka pasaran e-dagang secara agresif yang semakin berkembang di negara ini selain meraih peluang perniagaan besar di rantau ASEAN.

Apatah lagi katanya, platform Fingo yang menghubungkan rangkaian sosial utama iaitu Whatsapp, Facebook dan Instragram turut menjadikan kami berbeza dengan pesaingnya di pasaran, sekali gus meluaskan capaian perniagaan dan pengguna.

“Kami juga kini memiliki gudang di Sabah dan Sarawak dalam usaha memberi perkhidmatan pantas kepada pengguna di sana.

“Pada masa sama, Fingo akan memasuki pasaran Indonesia pada Mac tahun depan dalam usaha memperluaskan pasaran di negara Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, Fingo yang merupakan platform e-dagang terbaharu di pasaran negara ini adalah persaing terkini untuk Lazada dan Shopee.

Keunikan Fingo apabila membolehkan pengguna mendapat faedah daripada sistem pulangan tunai apabila berbelanja di platform itu.

Pendaftaran pengguna adalah percuma dan akan mendapat baucer percuma bernilai RM5 dan menikmati diskaun hebat yang ditawarkan dari masa ke semasa.

Cara pembayaran di Fingo melibatkan tiga kaedah iaitu kredit kad, talian perbankan dan kedai serbaneka 7 Eleven.

Pengguna Fingo boleh menjana pendapatan sampingan dengan menaiktaraf menjadi pembeli pilihan dengan membeli salah satu barang yang tersenarai dengan jumlah minimum RM199

Selepas itu, pengguna Fingo akan medapat laluan untuk tujuan promosi dan layak menjemput siapa saja menyertai Fingo di bawah mereka dan membina rangkaian perniagaan anda.

Majls pelancaran Fingo disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri iaitu Dr Ong Kian Ming pada akhir Julai lalu. – MalaysiaGazette