KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menganjurkan program Hari Bertemu Pelanggan secara mingguan mulai tahun depan.

Ia bermula pada 9 Januari depan bertempat di pejabat JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kompleks Kastam WPKL, No. 22, Jalan SS6/3, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan mulai 9 Januari depan.

Program ini bertujuan memberi peluang dan kemudahan kepada masyarakat yang mempunyai masalah atau aduan berkenaan dengan percukaian berkaitan dengan JKDM.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, komuniti perniagaan boleh bertemu terus dengan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan (MOF) dan JDKM bagi menyelesaikan isu dan permasalahan yang timbul dengan segera.

Sesi-sesi ini juga bagi mengambil kira sebarang idea untuk penambahbaikan pengurusan percukaian bagi memastikan cukai dipungut secara efisien, selain merakyatkan perkhidmatan awam agar JDKM lebih rapat dengan masyarakat untuk
membantu permasalahan dan isu yang dihadapi.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir bagi mendapatkan khidmat nasihat dari pegawai-pegawai kanan MOF dan JDKM yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. – MalaysiaGazette