Gambar hiasan

SINGAPURA – Maybank Kim Eng, cabang perbankan pelaburan pemberi pinjaman Malaysia Maybank, mengurangkan kira-kira lima peratus tenaga kerjanya di Singapura sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula komprehensif model operasinya, menurut laporan CNA.

Laporan berita dalam talian itu menyebut bahawa pengurangan pekerja, yang diumumkan kepada pekerja pada 6 Disember, dibuat selepas Maybank Kim Eng mengkaji semula beberapa bahagian operasinya, termasuk pembrokeran runcit Singapura, jualan dan penyelidikan institusi serantau, dan perniagaan perbankan pelaburan dan penasihat Hong Kong.

Memetik Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Kim Eng, Ami Moris, laporan itu menyebut bahawa langkah itu diambil susulan peralihan pilihan pelanggan dan perubahan dramatik dalam landskap perbankan pelaburan, termasuk peningkatan automasi dan penawaran pendigitalan pembrokeran selain perubahan peraturan.

“Situasi ini memerlukan kajian semula kedudukan kakitangan kami ke tahap optimum,” kata Moris dalam kenyataan.

Laporan itu menyebut bahawa secara menyeluruh, tiga peratus daripada keseluruhan tenaga kerja akan terjejas oleh penstrukturan semula terbabit.

Menurut portal berita itu, penyusunan semula barisan perniagaan perlu untuk membantu Maybank Kim Eng terus mengekalkan pertumbuhan yang mampan dan memberi nilai kepada pelanggannya selain meningkatkan daya saing.

Laporan itu menyebut syarikat itu merancang untuk memperoleh pasaran baharu menerusi penawaran produk baharu, menyelaraskan saluran pengedaran dan meningkatkan penawaran pelanggan dan ketersambungan merentas produk.

Penyusunan semula secara komprehensif struktur kos Maybank Kim Eng dan model operasi sedia ada akan membolehkan Maybank Kim Eng memanfaatkan peluang baharu muncul di kawasan pertumbuhan baharu, katanya.

Moris dilaporkan berkata bahawa pekerja yang terjejas oleh pemberhentian itu akan menerima pakej pampasan sejajar dengan undang-undang dan amalan pasaran serta nasihat dan rujukan penempatan keluar.

“Kumpulan itu menghargai perkhidmatan yang disumbangkan oleh mereka dengan Maybank Kim Eng, dan akan memberikan sokongan yang berkaitan bagi membantu mereka melalui tempoh peralihan ini,” katanya. – MalaysiaGazette