Napoli memecat Carlos Ancelotti tidak sampai tiga jam berjaya membawa pasukan ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

ROM – Napoli memecat pengurusnya, Carlo Ancelotti kurang tiga jam selepas pasukan itu mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Namun Ancelotti tidak menyedari pemecatan itu yang dilakukan sejurus selepas kemenangan itu.

“Saya akan berbincang dengan Presiden esok dana akan membuat keputusan terbaik untuk Napoli.

“Setahu saya, beberapa pemain sudah kembali menjalani latihan maka kami yakin pasukan ini masih boleh menamatkan saingan di empat tempat teratas Serie A,” katanya.

Kelab Serie A itu tidak merekodkan kemenangan dalam sembilan perlawanan terakhir sebelum menang 4-0 ke atas Genk di gelanggang sendiri.

Ancelotti menerajui Napoli untuk musim kedua tetapi pasukan itu menduduki tempat ketujuh dalam carta liga selepas permulaan hambar sepanjang musim ini.

Napoli merupakan satu-satunya pasukan yang telah menewaskan Liverpool 2-0 pada September lalu.

Pada November lalu berlaku krisis antara Ancelotti, pemain dan Presiden Aurelio de Laurentiis.

De Laurentiis mengarahkan pasukannya menjalani kem latihan sepanjang minggu tetapi Ancelotti dan pemainnya pulang ke rumah tanpa mengendahkan arahan itu.

Ancelotti yang pernah menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris dan Piala FA bersama Chelsea pada 2009-10 dikaitkan dengan Arsenal dan Everton.

Ancelotti juga memenangi dua gelaran Liga Juara-Juara Eropah bersama AC Milan dan Real Madrid dan gelaran domestik bersama AC Milan, Chelsea, Paris St-Germain dan Bayern Munich.-MalaysiaGazette