Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd Nazree Mohd Yunus (tengah) bercakap pada sidang media khas selepas mempengerusikan mesyuarat berikutan kes video seks Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali di Rumah Pemuda PKR, Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 19 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Pandangan yang telah diketengahkan oleh Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mengenai masalah yang sedang menghantui parti itu mempunyai asas kukuh.

Perselisihan pandangan dalam parti mungkin tidak akan sebesar ini jika pertembungan yang berlanjutan daripada pemilihan parti, isu pentadbiran parti dan isu-isu kongres diselesaikan dengan baik dan menurut persetujuan bersama secara musyawwarah antara kepimpinan tertinggi parti.

Naib Ketua AMK Malaysia, Mohd Nazree Mohd Yunus berpendapat perkongsian pandangan Zuraida berkenaan soal pendirian Presiden parti tentang soal video juga wajar dijelaskan oleh Presiden apakah benar Presiden mempercayainya dan ini memerlukan penjelasan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Katanya begitu, juga soal kenyataan Ketua Penerangan yang menolak kritikan Zuraida terhadap pimpinan parti yang lain kerana ia sepatutnya dimuhasabah oleh parti apakah sebab-sebab perkara tersebut berlaku dan Ketua Penerangan perlu mengambil tanggungjawab sama kerana kekecohan juga berlaku bermula daripada sesi Kongres Nasional AMK yang mana Ketua Penerangan turut berada dalam majlis tersebut.

“Kehadiran pimpinan juga tidak mampu menjamin keamanan, maka kita harus berganding bahu dan bukan tuding menuding. Saya menyeru supaya seluruh kepimpinan parti menilai semula dapatan daripada kongres yang jelas memaparkan bentuk perbahasan yang provokatif.

“Rakyat boleh menilai dan membuat banding beza antara soal perbahasan yang konstruktif dengan perbahasan yang bersifat provokatif dan tidak membina kerana perbahasan yang seumpama ini tidak mencerminkan kita sebagai sebuah parti pemerintah.

“Maka, pandangan Zuraida yang memberikan pencerahan maklumat kepada anggota parti berkenaan isu-isu semasa dan pertembungan dalam parti adalah sesuatu yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh anggota parti bagi mereka memahami mengapa ada corak-corak tertentu bentuk aturan perjalanan dan pentadbiran parti termasuk perjalanan Kongres Nasional Keadilan 2019 yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Nazree, anggota PKR di bawah tertanya-tanya mengenai sebab musabab parti itu berantakan termasuk isu antara Presiden dan Timbalan Presiden dan ini sudah pasti ada asas-asasnya.

Menurutnya, penjelasan dan perkongsian daripada Zuraida adalah wajar kerana dengan maklumat tersebut anggota boleh menilai mengapa parti PKR terjerumus ke dalam kancah konflik seumpama ini.

Beliau mencadangkan jika ada maklumat benar yang lain yang diketahui oleh Ketua Penerangan, boleh berkongsi kepada anggota parti supaya semua dalam parti sama-sama mengetahui duduk letak masalah untuk kita rungkai dan selesaikan bersama.

“Saya yakin, jika pimpinan dan anggota mempunyai maklumat yang betul, maka pertimbangan mereka akan lebih bermakna demi kelangsungan perjuangan Keadilan dan untuk rakyat.

“Rakyat mahu kita pimpinan Keadilan dan Pakatan Harapan merealisasikan harapan dan impian mereka.Maka Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu direalisasikan.

“Parti yang kuat dan kukuh akan boleh membantu usaha ini disamping agensi kerajaan sedia ada dan intipatinya perlu diterjemah demi kesejahteraan rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette