Kompleks Mahkamah Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 22 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Hal Ehwal Ekonomi telah memperuntukkan sebanyak RM120 juta bagi Projek Naik Taraf dan Kerja Pemuliharaan Bangunan Mahkamah di seluruh Malaysia secara one-off pada Rolling Plan Keempat Tahun 2020 di bawah Peruntukan Pembangunan.

Peruntukan ini susulan permohonan untuk menaik taraf dan memulihara kebanyakan bangunan mahkamah yang lama dan mengalami kerosakan kritikal.

Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan operasi mahkamah malah keselamatan pengguna terutamanya hakim, kakitangan mahkamah, peguam dan orang awam.

Kementerian itu berkata, tempoh pelaksanaan projek ini adalah selama dua tahun.

Menurutnya, projek ini melibatkan kerja naik taraf dan pemuliharaan 120 buah mahkamah seluruh Malaysia meliputi pembaikan kritikal antaranya seperti bumbung, dinding, saluran paip, penghawa dingin dan sistem pencegahan kebakaran.

Bilangan mahkamah terlibat mengikut negeri adalah Johor (13), Melaka (3), Negeri Sembilan (8), Selangor (12), Putrajaya dan Labuan (1), Perak (18), Pulau Pinang dan Sarawak (5), Kedah dan Kelantan (10), Terengganu (6), Pahang (9) dan Sabah (19).

Katanya, kerajaan yakin dengan peruntukan ini akan dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan mahkamah kepada orang awam. – MalaysiaGazette