Sanna Marin (Kredit Foto: Jussi Nukari/Lehtikuva/dpa)

ANKARA – Perdana Menteri baharu Finland, Sanna Marin, mengangkat sumpah jawatan pada Selasa, menjadikan beliau pemimpin paling muda memegang jawatan itu di dunia, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Anggota parlimen Finland telah memilih Sanna yang berusia 34 tahun susulan peletakan jawatan Perdana Menteri Antti Rinne selepas rakan kongsi utama gabungan menarik balik sokongan kerana hilang kepercayaan terhadap beliau.

Sanna, yang memegang jawatan sebagai Menteri Pengangkutan dan Komunikasi dalam pentadbiran sebelum ini, telah membentuk kerajaan baharu yang terdiri daripada 12 menteri wanita dan tujuh menteri lelaki.

Menteri Luar Pekka Haavisto mengekalkan jawatan beliau dalam kerajaan baharu.

Pada awal tahun ini, beliau dilaporkan cuba memberi tekanan ke atas seorang pegawai di Kementerian Luar untuk membawa pulang kanak-kanak rakyat Finland yang ibu bapa mereka adalah anggota Daesh dari kem pelarian al-Hol di Syria.

Maria Ohisalo, pemimpin Parti Liga Hijau, akan terus berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri yang merupakan pihak berkuasa paling berpengaruh mengenai isu-isu imigresen.

Ville Skinnari, wakil Parti Demokratik Sosial (SDP) Finland yang terkenal dengan sokongan kepada calon Turki serta pendekatan sederhana dalam hubungan dengan Turki, telah dilantik sebagai Menteri bagi Pembangunan Kerjasaman dan Perdagangan Luar.- BERNAMA