Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan laporan polis diterima berkaitan nyanyian lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin dan Arab diterima.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, dalam kes nyanyi lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin, seramai dua saksi telah dirakam keterangan iaitu Penolong Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan, Pejabat Pendidikan Daerah (aduan/siasatan), Jabatan Pendidikan Negeri dan Guru Besar SJKC Ma Hwa, Seremban.

Saksi-saksi lain akan dilaksanakan berdasarkan temu janji yang telah diaturkan.

Manakala bagi insiden nyanyi lagu Negaraku dalam bahasa Arab di SK Batu Empat, Gurun, Kedah, rakaman percakapan ke atas saksi-saksi yang dikenal pasti telah dilaksanakan pada 10 Disember lalu.

Saksi-saksi tersebut adalah guru besar, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Muda, Kedah dan suspek yang merakam dan memuat naik video dalam Facebook.

Huzir berkata, siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 8(3) Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi MultiMedia 1998.

Menurutnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Peguam Negara berserta cadangan berdasarkan dapatan hasil siasatan. – MalaysiaGazette