Gambar hiasan

KANGAR – Perlis kekal dengan pendirian menetapkan had umur perkahwinan 18 tahun ke atas bagi lelaki manakala 16 tahun keatas bagi perempuan, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Ruzaini Rais.

Beliau berkata, meskipun begitu, kelonggaran diberikan kepada mana-mana pasangan di bawah umur yang ditetapkan, yang mendapat kebenaran secara bertulis daripada Hakim Syarie Mahkamah Syariah.

“Berdasarkan Seksyen 8, Enakmen Keluarga Islam 2006, tiada suatu perkahwinan boleh diakad nikahkan di bawah enakmen ini jika lelaki itu kurang daripada 18 tahun atau perempuan 16 tahun, kecuali jika Hakim Syarie memberi kebenaran bertulis dalam hal tertentu,” katanya ketika ditemui selepas tamat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini, hari ini.

Beliau berkata, satu garis panduan khusus berkaitan perkahwinan ini telah dikuatkuasakan khususnya di Mahkamah Syariah, yang mesti dipatuhi iaitu oleh Hakim Syarie semasa pendengaran kebenaran nikah bawah umur melalui garis panduan seragam yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Katanya, sehingga kini Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak dan Negeri Sembilan kekal dengan had minimum umur sedia ada di negeri masing-masing.

Ruzaini berkata, hal ehwal pentadbiran agama Islam negeri ini adalah dibawah kuasa mutlak Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

“Sebarang usaha untuk meminda undang-undang berkaitan hal ehwal agama Islam di Perlis perlu diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang dipengerusikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin sebagai ketua agama Islam negeri.

“Justeru, semua pihak perlu menghormati ketetapan yang telah diambil oleh Raja Pemerintah negeri ini (Perlis) bagi memastikan keharmonian yang terjalin dapat dikekalkan,” katanya. – Bernama