Anuar Ahmad

BANGI – Seorang pensyarah menyifatkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang direncanakan bagi tempoh 2013 sehingga 2025 tidak cukup komprehensif untuk membolehkan para pelajar menghadapi masa depan yang lebih mencabar.

Menurut Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), Anuar Ahmad, PPPM 2013-2025 tidak kalis masa depan kerana  tidak menyiapkan pelajar dengan cabaran revolusi teknologi masa depan yang semakin berkembang.

“Dalam PPPM ia tidak lengkap, saya anggap ia tidak kalis masa depan kerana kita perlu kukuhkan perancangan PPPM dan kena ada tambahan untuk melengkapan lagi.

“Kita kena sediakan PPPM untuk menghasilkan peluang untuk 2025 dan 2030, kalau tidak kita akan akan ada masalah seperti ketibaan Grab.

“Pekerjaan seperti bidang pengkeranian, pentadbiran akan mula hilang disebabkan ambil alih oleh sistem automasi nanti,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette dalam sesi meja bulat bertajuk ‘Membentuk Semula Pendidikan’ di UKM, hari ini.

Katanya negara perlu mendidik pelajar untuk menghadapi revolusi teknologi maklumat yang semakin pesat terutamanya Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

“Sebagai contoh Grab dilancarkan pada 2012, kita tidak pernah bayangkan pemandu teksi akan ada masalah dengan kewujudan Grab.

“Tapi hari ini mereka berdepan masalah dan mengadu pendapatan mereka menurun disebabkan perkembangan teknologi.

“Banyak pagi pekerjaan lain akan hilang disebabkan perkembangan teknologi seperti kerani,” katanya lagi.

Justeru itu, beliau mencadangkan agar Kementerian Pendidikan mengkaji semula PPPM segera.

“Kita nak Kementerian Pendidikan kaji semula pelaksanaan PPPM dan bukan memansuhkan tapi perkukuhkan kerana ada bahagian yang dulu kita fikir untuk menyelesaikan masalah sahaja, tapi kena lebih daripada itu untuk bagi peluang agar anak-anak kita bersedia pada 2025 kerana dunia mereka sudah berubah.

“Bayangkan pelajar itu tidak minat sains, sastera tapi minat  pertanian, ada sistem yang boleh beri kemahiran pertanian moden dalam sistem pendidikan kita,” katanya lagi.

PPPM 2013-2025 merupakan manifestasi transformasi kerajaan secara menyeluruh dan besar bagi murid daripada pra sekolah sehingga ke pusat pengajian tinggi dalam mendatangkan peluang terbaik modal insan untuk memacu segala hasrat pembangunan negara.

Pelan ini dilancarkan pada 6 September 2013 oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. -MalaysiaGazette